Setiap pemegang Credit Card seharusnya pandai mengimbangi antara perbelanjaan dengan pendapatannya supaya ia tidak menjadi satu bebanan pada masa akan datang.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Rais Yatim, kes-kes muflis yang melibatkan golongan muda termasuk pegawai kerajaan kini berada pada tahap yang mencemaskan akibat daripada penggunaan Credit Card secara tidak terkawal. Laporan Tahunan Keseluruhan Kebankrapan Jabatan Pemeganag Harta cawangan Pulau Pinang menunjukkan sehingga bulan Jun ini, 30% daripada 4,598 kes muflis adalah membabitkan pemegang Credit Card. Pendedahan itu menjadi testimoni penting betapa Credit Card telah membentuk suatu cara hidup yang boleh menjurus kepada pemborosan, dan pembaziran serta menjadikan si pemiliknya papa kedana.
Kelonggaran dan galakan yang diberikan oleh pihak kerajaan serta institusi perbankan telah membolehkan semakin ramai rakyat negara ini memilik Credit Card. Mengikut peraturan yang dikuatkuasakan pada 28 Julai 1999, seseorang yang berpendapatan RM1,500 sebulan layak untuk memiliki Credit Card. Tujuannya adalah untuk menggalakkan pertubuhan sektor kredit yang terjejas teruk ekoran daripada kegawatan ekonomi yang berlaku pada tahun 1997. Di samping itu, Bank Negara juga telah menurunkan kadar caj minimum Credit Card daripada 2% kepada 1.5% sebulan menjadikannya tidaklebih 18% setahun. Caj bayaran lewat pula ditetapkan tidak lebih daripada 1% dikira atas jumlah yang tertunggak.
src="http://pagead2.googlesyndication.com/pagead/show_ads.js">
Peraturan yang diperkenalkan itu telah menyebabkan pengeluaran Credit Card meningkat secara mendadak. Sehingga suku pertama tahun 2000, jumlah pemilikan Credit Card di Malaysia telah meningkat 500% berbanding tahun 1998. Dengan Credit Card yang dimiliki, seseorang boleh berbelanja tanpa mengeluarkan wang daripada sakunya. Para pemeganag Credit Card hanya perlu menurunkan tandatangan di atas slip barangan ataupun perkhidmatan yang dibeli. Pihak bank ataupun syarikat kewangan akan membayar bagi pihak pemilik Credit Card. Apabila tiba penghujung bulan, pemegang Credit Card perlu menjelaskan segala bayaran kepada pihak-pihak yang berkenaan. Sekiranya pemilik Credit Card gagal berbuat demikian maka hutang yang tertunggak itu akan dikenakan kadar faedah.
Jadi, para pemegang Credit Card tidak sepatutnya merasa bangga dengan “wang” plastik yang dimiliki. Terdapat kecenderungan di kalangan orang ramai untuk memiliki Credit Card sebagai tanda status sosial dan bukannya untuk keperluan perniagaan ataupun kemudahan mudah tunai. Memang tidak dapat dinafikan bahawa Credit Card mempunyai banyak kebaikan tapi perlu diingatkan bahawa keterlanjuran menggunakan kad tersebut boleh menjebak si pemilik ke dalam kancah hutang yang berpanjangan dan tidak berkesudahan.
Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Bank Negara, jumlah hutang tertunggak Credit Card pada sukau pertama tahun 1998 ialah RM696 juta. Tetapi pada suku pertama tahun 2000, hutang tertunggak Credit Card di negara kita telah meningkat kepada RM5 bilion. Peningkatan itu juga dapat dilihat pada jumlah belian menggunakan Credit Card ialah daripada RM 1710 juta kepada RM2.8 bilion dalam tempoh yang sama.
Berdasarkan kepada statistik, perbelanjaan menggunakan Credit Card didapati telah meningkat dengan begitu ketara. Sekali gus membuktikan bahawa langkah kerajaan untuk menggalakkan orang ramai berbelanja menggunakan Credit Card bagi merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara telah berjaya. Namun begitu daripada segi yang lain, ia telah mewujudkan bentuk budaya hidup yang kurang sihat di kalangan rakyat iaitu sindrom suka berhutang. Walaupun kadar perbelanjaan menggunakan Credit Card mempunyai had tertentu tetapi penggunaan Credit Card secara berleluasa sering mendorong seseorang berbelanja secara berlebihan tidak setimpal dengan gaji dan pendapatannya. Berbelanja menggunakan Credit Card sememangnya menyeronokkan sehingga kadang kala membuat seseorang terlupa kemampuan kewangannya.
Kalau sebelum ini, Credit Card hanya digunakan oleh mereka yang kaya dan berada tetapi kini sesiapapun boleh memilikinya hatta pekerja kilang sekalipun. Malahan ada sesetengah orang mempunyai beberapa keping Credit Card pada satu-satu masa. Sebenarnya tidak menjadi kesalahan kepada sesiapapun untuk memiliki ataupun berbelanja menggunakan Credit Card.
Sebaliknya dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin berkembang, Credit Card dijangka akan menggantikan penggunaan wang tunai pada sedikit masa lagi. Kemudahan yang terdapat pada Credit Card bukan sahaja memudahkan sesuatu urusan tetapi juga mampu memberikan perlindungan keselamatan kepada si pemegangnya. Dengan adanya Credit Card, seseorang tidak perlu membawa wang tunai yang banyak yang boleh menyebabkannya terdedah kepada bahaya rompakan dan risiko yang lain.
Tetapi penggunaan Credit Card juga boleh menyebabkan seseorang berbelanja mengikut kehendak nafsunya. Jadi, setiap pemegang Credit Card seharusnya pandai mengimbangi antara perbelanjaan dengan pendapatannya supaya ia tidak menjadi suatu bebanan pada masa yang akan datang. Mereka sepatutnya menggunakan Credit Card hanya pada waktu kecemasan sahaja. Jika boleh, berbelanjalah mengikut cara yang konvensional iaitu menggunakan wang tunai yang ada di dalam tangan supaya perbelanjaan itu dapat dikawal dan diawasi selalu. Credit Card bukan digunakan untuk menunjuk-nunjuk apatah lagi bagi perbelanjaan yang tidak perlu. Asas penggunaan dan Credit Card ini perlu difahami. Kegagalan untuk memahami akan menyebabkan seseorang menyalahgunakan Credit Card sehingga menimbulkan kesengsaraan kepada diri serta ahli keluarganya.
Oleh itu, langkah-langkah segera perlu diambil untuk memastikan supaya penyelewengan terhadap Credit Card tidak berlaku dan dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Antaranya ialah memperketatkan pengeluaran dan pemilikan Credit Card dengan memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja dan mempunyai pendapatan yang tinggi boleh memilikinya.
Had minimum kelayakan perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada mereka yang mempunyai pendapatan RM3500 ke atas. Kelayakan yang ditetapkan sekarang ini terlalu rendah dan tidak sejajar dengan peningkatan kos hidup rakyat negara ini. Membenarkan golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana memilik Credit Card hanya akan mendedahkan mereka kepada beban hutang yang melampau. Kegagalan mereka membayar balik hutang tertunggak akan mengakibatkan mereka diisytiharkan muflis dan ini sudah tentu akan menjejaskan kedudukan dana institusi kewangan yang memberikan “pinjaman” itu melalui Credit Card. Di samping itu usaha juga perlu diambil untuk mengelakkan para pemegang Credit Card daripada berbelanja secara keterlaluan.
Kerajaan boleh menggalakkan orang ramai berbelanja tetapi bukan dengan cara berhutang menggunakan Credit Card. Hal ini dapat dilakukan dengan menaikkan caj bayaran balik dan kadar faedah hutang tertunggak. Langkah ini mungkin akan mendapat tentangan daripada para pemegang Credit Card dan juga pihak institusi kewangan.
Bagi para pemilik Credit Card, langkah itu akan disifatkan sebagai tidak adil. Pihak bank pula akan melihat langakah ini akan menyebabkan keuntungan dan pulangan yang bekal diperolehnya mungkin berkurang. Tetapi seyogia diingatkan bahawa langkah ini akan memberikan kebaikan kepada kedua-dua pihak kerana ia mengurangkan tanggungan pemilik Credit Card dan menurunkan risiko kerugian di pihak bank.
Pihak bank mempunyai tanggungan untuk mengawal-selia perbelanjaan para pemegang Credit Card yang menjadi pelanggannya. Mereka tidak sepatutnya menyembunyikan realiti dan keburukan mengenai Credit Card sekiranya si pemiliknya tidak berhati-hati menggunakannya. Meskipun pihak kerajaan dan bank boleh membuat serta mengenakan berbagai-bagai peraturan tetapi penggunalah yang akan menentukan nasib, kedudukan, dan masa depan kewangan mereka. Mereka perlu bijak menggunakan Credit Card. Jika tidak, mereka pula yang akan dikuasai oleh Credit Card dan sejumlah hutang yang perlu dilangsaikan dalam kehidupan sepanjang hayat mereka.