Thursday, March 27, 2008

Petua menidurkan anak

Apakah petua untuk menidurkan si kecil dan mengelakkannya daripada kerap terjaga atau mendapat mimpi ngeri?


SETIAP bayi memerlukan 14 hingga 15 jam untuk tidur setiap hari. - Gambar hiasan


KANAK-KANAK yang tidak memperoleh tidur yang mencukupi lebih cenderung menjadi terlalu letih sepanjang hari dan kerap mengantuk. Dalam sesetengah kes, mereka juga kerap menukar lokasi tidur pada waktu malam atau mempunyai lebih banyak masalah tidur. Berikut petua untuk menidurkan anak.n Pastikan anak memperoleh tidur yang mencukupi

Berdasarkan Yayasan Tidur Kebangsaan Kanada, setiap bayi memerlukan 14 hingga 15 jam untuk tidur pada setiap hari. Kanak-kanak pula memerlukan tidur selama 12 hingga 14 jam sehari manakala pelajar pra-sekolah memerlukan 11 hingga 13 jam sehari bagi membolehkan tubuh mereka berfungsi dengan baik.

Tidurkan waktu dia mengantuk

Sebaik-baiknya rutin tidur bayi anda patut bertahan selama 30 hingga 60 minit bagi setiap kali tidur manakala bagi kanak-kanak yang sudah memasuki alam persekolahan pula, rutinnya adalah di antara 20 hingga 30 minit.

Cahaya mentari sebagai loceng

Cahaya mentari memainkan peranan yang penting untuk membetulkan pola harian tidur si anak. Pendedahan anak kepada sinar matahari sebaik sahaja dia terjaga dari tidur boleh memberinya petanda natural bahawa hari sudah siang.

Persekitaran tidur selesa

Ini bermakna persekitaran tidur yang baik adalah dingin, gelap, senyap dan selesa. Pastikan juga si kecil tidur di atas tilam yang selesa dan memakai baju tidur yang tidak menganggunya sepanjang waktu tidur.

Persekitaran yang selamat

Periksa bilik tidur anak terlebih dahulu dan pastikan bilik tidurnya bebas daripada barangan yang bersepah sehingga menganggu keselesaan untuk tidur.

Ajar anak cara tidurkan dirinya

Teruskan mendidik anak tentang kepentingan mempunyai rutin tidur yang menenangkan. Berikan juga tumpuan kepada kesan berkaitan tidur yang mungkin mempengaruhi tabiat tidur anak anda. Galakkan anak belajar menenangkan diri sekiranya terjaga pada waktu tengah malam. Kira-kira satu pertiga daripada kanak-kanak yang sudah bersekolah masih memerlukan bantuan ibu bapa untuk kembali kepada tidur setelah terjaga.

Tetapkan rutin tidur

Waktu tidur untuk si kecil atau kanak-kanak yang sudah memasuki alam persekolahan sepatutnya bermula antara pukul 6.30 petang hingga 7.30 malam. Namun, dalam sesetengah kes istimewa seperti jika terdapat majlis khas, elakkan daripada membiarkan anak tidur lewat terlalu kerap. Ini bagi mengelakkan pola aktiviti harian mereka terjejas.

Jangan abaikan tidur petang

Apabila anak anda tidak lagi mengamalkan tabiat tidur petang, anda boleh menggalakkannya menggantikan tabiat tersebut dengan masa untuk bersantai. Dengan ini, masa santai itu bukan sahaja memanfaatkan si anak malahan anda berdua.

Makanan yang betul

Jika anda menghidangkan makanan berkarbohidrat kompleks bersama protein, anda sebenarnya memberi anak anda snek yang dibekalkan dengan ‘kuasa’ berpanjangan.

Ini akan mengelakkannya daripada terjaga pada bila-bila masa. Berbeza dengan makanan kaya protein atau gula, tenaga yang diperoleh daripada makanan-makanan ini akan menyukarkan rutin tidurnya daripada berjalan lancar. Seperkara yang perlu diingati ialah perhatikan waktu pengambilan hidangan berat agar tidak terlalu dekat dengan waktu tidur.

Aktiviti fizikal penggalak tidur

Wujudkan peluang untuk anak anda melakukan aktiviti fizikal pada siang hari agar dia dapat tidur lena pada sebelah malam. Berikan peluang kepada bayi anda untuk melakukan sedikit senaman ringan di atas lantai, misalnya merangkak.

Gangguan teknologi

Gajet seperti komputer mahupun televisyen boleh menganggu ketenteraman sebelum masuk tidur. Jadi, elakkan anak-anak terlalu terpengaruh kepada aktiviti gajet.

Remaja & Konflik

CABARAN REMAJA

Perubahan-perubahan fizikal, emosi dan social semasa remaja memberi kesan terhadap kesihatan mental.

Masalah-Masalah Yang Sering Dihadapi Remaja

  • Keliru dengan peranan dan tanggungjawab diri

  • Sering merasa diri disalahfahamkan dan dipersalahkan

  • Merasa diri dilayan secara tidak adil

  • Kesunyian

  • Sukar memahami emosi

  • Susah membuat keputusan

Hubungan Dengan IbuBapa

Remaja yang mempunyai hubungan baik dengan ibubapa mereka sering menjalin perhubungan yang mesra dengan orang lain. Mereka juga kurang mengalami masalah kesihatan mental.

Cara-Cara Menjalin Perhubungan Yang Lebih Rapat Dengan IbuBapa

  • Menghormati dan sedia meneriam tunjuk-ajar dan teguran mereka

  • Membincangkan masalah anda dengan mereka

  • Meluahkan perasaan dan pendapat anda secata terus terang

  • Tunjukkan kasih sayang anda melalui kata-kata ataupun perbuatan

  • Cuba memahami masalah dan beban ibubapa anda

  • Meraikan harijadi mereka

  • Ingatlah bahawa ibubapa menyayangi anda dan mahukan yang terbaik untuk anda

MENANGANI EMOSI

Keupayaan memahami emosi adalah penting di dalam kehidupan harian

Apabila Anda Merasa Marah

  • Tarik nafas sedalam-dalamnya. Beredar dari suasana tegang (jika perlu)

  • Berfikir sebelum bertindak

  • Tanya diri sendiri

    • Kenapa saya marah ?

    • Apalah punca masalah ?

    • Apakah yang telah saya lakukan ?

PENYELESAIAN KONFLIK

  • Kenalpasti punca konflik

  • Dengan dulu apa yang hendak disampaikan oleh orang lain

  • Nyatakan apa yang anda kehendaki dan mengapa anda marah

  • Janganlah menyalahkan orang lain

  • Tumpukan perhatian kepada tindakan yang menyebabkan konflik

  • Bertenang semasa menerangkan pendapat anda

  • Bincangkan bersama cara-cara penyelesaian masalah

  • Carilah penyelesaian yang menguntungkan kedua belah pihak

Remaja yang Positif

  • Bertimbang rasa

  • Yakin terhadap diri sendiri

  • Sedia menerima nasihat dan teguran

  • Sabar

  • Bertanggungjawab

  • Rajin dan suka menolong

  • Mahir berkomunikasi

22 perkara berkaitan pendidikan anak-anak

Ibu bapa yang matang harus tahu bagaimana cara untuk membentuk anak-anak mereka. Dalam hal ini ibu bapa harus bersepakat mendidik dan mewarnai hidup anak-anak. Hendaklah perlakuan ibu bapa yang menjadi contoh kepada anak-anak seragam tanpa ada perbezaan.

Anak-anak akan menjadi keliru jika ibu bapa mempunyai pandangan yang berbeza dalam mendidik mereka. Jangan ada pandangan yang berbeza antara ibu dan bapa. Misalnya, si ibu menentang sesuatu yang anak lakukan sedangkan si bapa membenarkan.Ibu bapa juga harus berwaspada dengan perlakuan datuk dan nenek atau saudara-saudara yang lain yang berlawanan dengan perlakuan ibu bapa. Kerana ia boleh meruntuhkan cara pendidikan yang telah diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak.

Untuk mendidik anak-anak dengan cara penampilan yang baik, ada beberapa perkara yang harus diamalkan:

  1. Biasakan anak-anak menyebut nama Allah s.w.t. ketika mulai makan dan minum serta bersyukur kepada Allah s.w.t. sesudah selesai makan.
  2. Jangan biarkan makan terburu-buru, biasakan anak-anak mengunyah makanan dengan baik.
  3. Biasakan anak mulakan makan makanan yang berada paling dekat di depannya.
  4. Biasakan anak mencuci tangan sebelum dan sesudah makan.
  5. Biasakan anak makan dengan wajar dan jauhkan daripada sifat rakus.
  6. Biasakan anak membuang hingus dengan tangan kiri, begitu juga jika membuang kotoran.
  7. Jangan biarkan anak menghisap jari dan menggigit kuku.
  8. Hendaklah membiasakan dia memberi dan menerima makanan dengan tangan kanan.
  9. Jangan biasakan anak memakai baju atau seluar yang pendek, sebaliknya biasakan anak-anak menutup aurat sejak mereka masih kecil lagi.
  10. Jangan biasakan anak tidur tertiarap.
  11. Biasakan anak makan roti kering tanpa kuah sehingga dia tidak menganggap kuah itu sebagai suatu keharusan.
  12. Biasakan anak memberus giginya ketika bangun tidur di waktu sesudah makan dan di waktu hendak tidur.
  13. Biasakan anak mengucap dua kalimah syahadah dan mengulang-ulangnya beberapa kali setiap hari.
  14. Biasakan anak membaca alhamdulillah setiap kali bersin.
  15. Suruh anak menutup mulut setiap kali menguap (sangap).
  16. Biasakan anak berterima kasih di atas kebaikan orang lain.
  17. Biasakan anak berjalan di jalan yang telah disediakan. Larang ia bermain-main di jalan raya kerana ini amat merbahaya dengan kehadiran kenderaan yang lalu-lalang.
  18. Jangan biarkan anak melemparkan kekotoran di jalan tetapi suruh ia meyingkirkan gangguan seperti duri, batu, kaca dan sebagainya.
  19. Suruh dia mengucap salam dengan sopan kepada sesiapa yang ditemuinya serta menjawab salam cara sopan.
  20. Hendaklah anak menghormati milik orang lain dan jangan biarkan dia mengambil barang permainan orang lain.
  21. Jangan ibu bapa bertengkar di hadapan anak kerana sikap ini menghilangkan wibawa orang tua di mata anak mereka.
  22. Biasakan anak menjawab azan, mengucap selawat kepada Nabi s.a.w. sesudah azan dan doa memohon wasilah bagi Nabi.

Perkara ini hendaklah dilakukan selalu agar anak-anak terbiasa dengan perkara-perkara yang baik.Untuk membiasakan didikan-didikan di atas, ia memerlukan kesefahaman, kesepakatan dan kerjasama antara ibu bapa. Kita sudah sepakat dan saling bekerjasama untuk menerapkan didikan tersebut ke atas diri anak kita sejak anak itu kecil lagi, iaitu ketika umurnya antara tujuh sehingga 14 tahun.

Ini adalah masa yang terbaik ibu bapa mendisiplinkan anak-anak. Insya-Allah anak kita akan menjadi anak yang sejuk mata memandang dan menjadi pemimpin pada orang-orang yang beriman kelak. Seterusnya untuk menjadikan anak kita cemerlang, gemilang dan terbilang.