Sunday, March 30, 2008

Segarkan keintiman suami


APABILA telah menempuh alam rumah tangga untuk satu jangka masa yang lama, pastinya belaian dan sentuhan manja pasangan suami isteri semakin pudar sedikit demi sedikit. Si dia tidak lagi memerhatikan pasangan ketika berjalan masuk ke kamar.

Atau, sejak kebelakangan ini, si dia asyik menonton perlawanan bola sepak tanpa mengerjakan hal-hal lain, sehinggakan segala permintaan yang dipinta tidak dipedulikan.

Sekiranya sudah sampai ke tahap sedemikian, tibalah masanya untuk kamu melakukan sesuatu, demi mempertahankan keutuhan rumah tangga, sekali gus dapat meningkatkan keintiman kamu bersama.

Intim minggu ini berkongsi tip bagaimana caranya untuk menyegarkan keintiman dalam melayari alam perkahwinan dengan mencalit secubit rasa cemburu kepada si dia.

Hari pertama: Cermin diri

Terokai bayangan diri kamu menerusi cermin. Bilakah hari terakhir kamu ke salon kecantikan atau menukar stail rambut? Buat temu janji dengan pakar kecantikan untuk mengubah dan mereka gaya rambut terkini, lulur badan serta membuat rawatan pedicure dan manicure.

Ingat, tiada siapapun yang akan mencemburui diri kamu sekiranya berani berpenampilan versatil dan vouge.

Hari kedua: Manjakan diri

Ingin menjadi wanita dambaan lelaki? Sekiranya jawapanya 'ya', laburkan wang simpanan demi kebahagiaan kamu dan pasangan. Belilah sepasang sepatu hitam dan kenakan baju rekaan terkini. Biarpun harganya murah dan tiada jenama, asalkan bergaya.

Luangkan masa membeli-belah pakaian dalam yang bercorak luar biasa, tetapi jangan terlalu menggoda.

Ketika kamu pulang ke rumah, letakkan barangan yang dibeli itu di tempat yang tersembunyi dan kamu tidak perlu membuka satu persatu barangan yang dibeli di hadapannya. Bagi membangkitkan suasana romantis, biarkan sedikit renda pakaian dalam terkeluar daripada bungkusannya.

Jangan sesekali bercerita tentang barangan tersebut ketika si dia tiba di rumah. Malah, kenakan pakaian dalam pada hari pertama anda membelinya. Biar si dia terkejut dengan penampilan anda di malam hari.

Hari ketiga: Berhibur dengan teman wanita

Hindari daripada membuang masa di rumah berseorangan. Cipta suatu hobi agar kamu menjadi seorang wanita yang terlalu sibuk. Bergaul dengan teman-teman yang si dia tidak kenali di luar rumah. Buatlah sesuatu agar si dia tahu anda seorang wanita paling bahagia sekiranya tanpa dia di sisi.

Hari keempat: Luangkan masa ke gimnasium

Pastikan bahawa pusat gimnasium yang dihadiri itu dibuka untuk pasangan lelaki dan perempuan. Di depannya, sebut sepintas lalu beberapa nama teman lelaki yang ada di sana dan bagaimana mereka lakukan senaman.

Beritahu kepadanya betapa kamu menghargai usaha yang dilakukan mereka untuk memiliki tubuh yang mantap.

Hari kelima: Timbulkan rasa tanda tanya

Sekiranya kamu sudah selesai menjalani rutin harian di rumah seperti memasak, mandi dan berdandan, jangan lupa menikmati makan malam nan indah bersamanya. Jika dia memuji masakan kamu, jangan tunjukkan bahawa anda terkejut dengan pujiannya itu.

Hari keenam: Manfaat jiran tetangga

Untuk mengembalikan hubungan yang semakin pudar, minta bantuan daripada jiran tetangga untuk memperbaiki barangan dapur elektrik yang rosak di kediaman kamu. Pastikan jiran kamu itu masih berada di sekitar kamu ketika si dia datang menghampiri. Cara ini sememangnya mencabar keupayaan si dia sekali gus membuktikan bahawa kamu amat memerlukan bantuan daripada si dia berbanding jiran.

Hari ketujuh: Cukup setakat itu sahaja

Jika kamu benar-benar mencintainya, tidak perlu lagi kamu berusaha bermati-matian semata-mata untuk melukai hatinya. Cukuplah kamu menguji keimanannya selama seminggu agar ia tidak memberi kesan mendalam terhadap perhubungan.

Kadang-kadang, perbicaraan dari hati ke hati adalah medium komunikasi paling berkesan dalam menyegarkan alam perkahwinan. Katakan kepadanya, dialah cinta pertama dalam hidup kamu dan tiada siapapun yang dapat menandinginya. Lelaki inginkan dirinya dihargai dan dipuji walaupun tidak selalu.

Andai kamu mempunyai kematangan secara emosional, seksi, tolak ansur dan penuh kasih sayang, tiada alasan untuknya tidak mahu berdampingan dengan kamu pada setiap masa.

Berbelanja bersama anak

Bagaimanakah hari berbelanja bersama anak boleh lebih menyeronokkan dan tidak tertekan?



JIKA anak anda lebih dewasa, mintanya membantu memeriksa senarai barangan dan mencari harga terendah. - Gambar hiasan

SESIAPA yang pernah berbelanja sakan dengan anak atau kanak-kanak sudah pastinya setuju ia bukan sesuatu yang mudah. Pengalaman keluar membeli-belah dengan anak ada kalanya memberi tekanan dan tidak menggembirakan. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan masalah yang mungkin timbul.

Terangkan peraturannya

* Sebelum memasuki kedai, pastikan anda sudah menerangkan kepada anak beberapa peraturan penting yang perlu dipatuhinya. Antaranya termasuk berada di sisi anda dan jangan tinggikan suara ketika bercakap serta jangan cuba merayu untuk membeli gula-gula.

* Pilihlah satu isyarat atau perkataan rahsia agar kedua-dua anda boleh berkomunikasi secara mudah.

* Cuba berlatih di rumah terlebih dahulu bagaimana untuk membahagikan peranan masing-masing sewaktu berada di kedai. Tetapkan persetujuan untuk memberi ganjaran apabila anak berkelakuan baik.

* Berikan pilihan yang ringkas. Misalnya, dapatkan anak untuk memilih antara snek kegemaran atau singgah bersiar-siar di taman. Berjanji untuk membacakannya cerita atau bermain di rumah.

* Ingatkan anak bahawa jika dia mematuhi peraturan-peraturan tadi, anda akan membelinya sesuatu apabila anda keluar berbelanja.

Bawakan bekal

* Bekalkan anak snek bernutrisi untuk dimakan sepanjang anda berbelanja sakan. Misalnya kismis, epal atau kacang.

* Selain makanan, anda juga boleh memilih buku cerita yang sesuai agar si anak tidak bosan sepanjang membeli-belah. Jika perlu, bawa bersama figura-figura kecil.

* Sekiranya anak anda mudah terlelap, anda boleh membawa bersama selimut untuk memberinya rasa selamat. Untuk anak yang lebih kecil, anda boleh mengikatkan permainan kegemarannya pada sisi troli beli-belah.

Peka

* Cuba beri perhatian sekiranya anak terlalu letih atau lapar sewaktu anda berbelanja. Jika ya, anda mungkin boleh menangguhkan waktu membeli-belah atau dapatkan seorang penjaga.

* Membeli-belah pada masa lapang adalah lebih baik daripada berbelanja sakan ketika kedua-dua ibu dan anak letih dan tidak selesa.

Apabila berada di kedai * Anda boleh bertindak lebih kreatif dengan mengadakan satu permainan mini yang tidak melecehkan. Misalnya, anda boleh bertanya: "Tengok siapa yang nampak ubi kentang dulu? Atau adakah anda ingat susu datang daripada apa?"

* Atau, anda boleh meminta anak menghitung kasut-kasut (yang dipakai orang lain) yang dilihat sepanjang perjalanan. Ataupun, cuba kira berapa banyak huruf B yang boleh anda cari pada papan tanda.

* Sesetengah ibu suka menghiburkan anak dengan nyanyian sepanjang berbelanja.

* Berikan sedikit imaginasi dalam cabaran sewaktu berbelanja. Anda mungkin boleh meminta anak meneka atau menghuraikan makanan yang ada di dalam troli.

Perbanyakkan permainan

* Anda boleh berbincang tentang gambar yang tertera pada pakej makanan atau barangan yang dipilih. Mungkin anda boleh cuba terangkan juga berapa banyak benda yang boleh dihasilkan daripada puri tomato.

* Cuba carikan lima barang pada setiap rak yang bermula dengan huruf B atau barangan yang berwarna merah, dalam tin dan sebagainya.

* Dapatkan bantuan anak untuk menamakan sayur-sayuran yang terdapat dalam troli termasuk daging, roti, buah-buahan atau produk tenusu.

Latih anak bertanggungjawab

* Anda boleh meminta bantuan anak untuk memilih epal paling keras atau kacang hijau termurah.

* Jika anak anda lebih dewasa, mintanya membantu memeriksa senarai barangan dan mencari harga terendah.

Berikan pujian

Setelah selesai mengagihkan tugas, sebagai ibu bapa, pujian anda membawa makna yang besar. Katakan: "Terima kasih, anda sungguh membantu" atau berikan pelukan erat. Galakkan anak berkomunikasi dan banyakkan mendengar dan berfikir.

Jika semuanya gagal

* Ingatlah bahawa kanak-kanak masih sentiasa kanak-kanak. Mereka tidak sempurna dan begitu juga kita.

* Berikan perhatian kepada kelakuan yang positif dan ajarnya mengikis tingkah laku yang tidak elok, lebih-lebih lagi ketika berada di tempat awam.

* Jika anak berkelakuan tidak baik, jangan memarahinya di khalayak. Bawa anak ke bilik air dan terangkan mengapa kelakuannya tidak dapat diterima.

* Berikan amaran jika dia terus berkelakuan sedemikian, anda tidak akan teragak-agak meninggalkannya di rumah dan tidak keluar berbelanja dengan anda.

Nurfarahin kuat berpantang

Personaliti dan bekas pengacara TV3, Nurfarahin Jamsari, memilih seorang bidan lelaki untuk menjaganya selepas bersalin.



ANAK-ANAK menjadi sumber inspirasi untuk Nurfarahin menghasilkan buku tentang amalan berpantang.

"BERSALIN tak susah seperti yang orang ramai fikirkan. Yang susah ialah berpantang selepas bersalin," ujar seorang ibu kepada tiga orang anak.

Berpantang dianggap sesuatu yang leceh mundur dan membuang masa oleh ramai ibu moden.

Berbeza dengan Nurfarahin Jamsari, 45, beliau melihat berpantang sebagai amalan yang sangat bernilai untuk wanita.

"Saya sudah melahirkan empat orang cahaya mata. Shaikh Amir, 13, Shaikh Imran, 10, Siti Sarah, 8, dan Shaikh Arif, 7.

Setiap kali selepas bersalin, saya akan berpantang sebaiknya mengikut tempoh. Kebaikannya lebih daripada sekadar untuk fizikal," ujarnya yang melahirkan semua anaknya secara normal.

Terkenal dengan keterampilan serta gerak aktifnya sehingga hari ini, Nurfarahin yang kini mengetuai Unit Pengurusan Imej Media Prima Berhad, umpama bukti nyata kebaikan yang diperoleh daripada amalan yang diwarisi daripada nenek moyang itu.

Nurfarahin pernah menjadi pengacara rancangan Nona, Sekapur Sirih, Malaysia Hari Ini, Hati Ke Hati, Wanita Hari Ini, Potret Kejayaan, Medik TV dan banyak lagi program di bawah TV3.

Melahirkan seorang puteri dan tiga orang putera yang sihat dan aktif daripada perkahwinan pertama, Nurfarahin yang baru mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Noor Eddie Putera Noordin pada 29 April 2006, kini masih mampu mengimbangi hidupnya sebagai seorang ibu, isteri dan wanita berkerjaya.

"Memang saya rasa lebih sihat sekarang berbanding semasa masih anak dara," katanya yang menjelaskan amalan berpantang turut merangkumi diet dan gaya hidup sihat termasuk bersenam.

Kerana sudah meraih kebaikannya, Nurfarahin yang memang dikenali dengan semangat kewanitaannya, dalam diam telah mendedikasikan lebihan masanya daripada hidup berumah tangga dan berkerjaya untuk menghasilkan buku tentang berpantang yang bertajuk 44 Hari Bersama Nurfarahin.

"Saya mahu lebih ramai wanita mendapat kebaikan daripada amalan berpantang. Jika kita fikirkan ia untuk kebaikan pada masa depan, ia tidak susah," ujarnya yang mengambil masa lima tahun untuk menghasilkan buku ini.

Buku setebal 128 halaman ini ditulis berdasarkan pengalaman peribadi Farahin dan kenalannya serta hasil pemerhatian terkumpul terhadap masyarakat sekeliling.

Menyingkap dan mengupas sebab-sebab di sebalik amalan berpantang dengan menggunakan logik, sains dan penyelidikan, Nurfarahin menjadikan medium ini sebagai saluran untuk memudahkan kefahaman ramai dengan panduan yang sempurna secara total.

Buku ini, kata Nurfarahin, adalah sebagai panduan terutama untuk bakal ibu bapa, keluarga yang berjauhan, pasangan yang kurang arif atau tidak berpengalaman dalam mengharungi kehidupan berpantang.

"Amalan berpantang yang saya tampilkan ini bukan tradisional atau ortodoks, sekurang-kurangnya bukan sepenuhnya. Boleh dikatakan ia bersifat kontemporari kerana saya menggunakan barang-barang yang ada di dapur," katanya.

Menurut beliau, melalui berpantanglah beliau dapat mempelajari banyak khasiat makanan sebagai rawatan alternatif.

Mengakui setiap orang akan memberi reaksi yang berbeza terhadap rawatan yang diamalkan, Nurfarahin menggalakkan ibu-ibu yang tidak serasi dengan petua yang diketengahkan supaya tidak meneruskannya.

"Petua yang saya turunkan ini tidak semestinya sesuai dengan semua orang. Saya sekadar berkongsi ilmu kerana dengan bercakap (mengacara) sahaja tidak menjanjikan orang ramai mendapat kebaikan daripadanya," jelas beliau.

"Saya sendiri pernah melalui tempoh getir semasa berpantang seperti kurang lawas, payu dara bengkak, puting merekah, murung dan pelbagai lagi.

"Tetapi saya sentiasa berfikiran terbuka berkaitan pengambilan ubatan baik dari segi bentuk pil, rebusan atau asli. Saya ingin mencuba semua, asalkan ia membawa kebaikan pada tubuh saya," tambah Nurfarahin.

Berpantang itu perlu, katanya, bukan hanya kerana ia dapat mengembalikan bentuk tubuh yang langsing, tetapi juga keupayaannya menangani perubahan fizikal, fisiologi, emosi dan mental yang dialami sepanjang tempoh kehamilan.

Berat badan dan kandungan cecair dalam darah bertambah, denyutan jantung lebih deras, tekanan darah meningkat, pernafasan lebih cepat, kulit menegang dan retak, urat kaki timbul serta kemaluan meregang ialah antara perubahan yang disenaraikan Nurfarahin dalam buku ini.

"Pada waktu inilah wanita akan berasa dirinya tidak cantik, busuk, suami tidak sayang dan anak-anak menjauhi. Sedangkan pada waktu inilah wanita perlu dibelai seperti seorang permaisuri," tambahnya.

Menariknya, bidan yang menemani Nurfarahin sepanjang tempoh beliau berpantang bukanlah wanita.

"Haris Fathilah Ahamad atau Pak Ngah yang menjaga saya sepanjang saya berpantang selepas melahirkan keempat-empat anak saya.

"Beliau merupakan bidan dan pakar perubatan tradisional yang memperkenalkan pelbagai petua tradisi, memberi nasihat, membimbing dan mengajar segala yang perlu untuk saya menempuh waktu berpantang dengan selamat," kongsinya yang menyebut kehadiran suami juga penting untuk sokongan emosi dan rohani setiap ibu baru bersalin.

Ditanya sebab beliau memilih bidan lelaki, Nurfarahin meminta agar pembaca melihat situasi ini sebagaimana seorang pesakit wanita mendapatkan khidmat pakar sakit puan dari kalangan lelaki.

"Tambahan, Pak Ngah merupakan bidan kepada keluarga kami sejak lama dahulu. Yang penting saya selesa dengannya. Sekali-sekala ada juga saya berselisih pendapat dengannya, maklumlah saya banyak bertanya," ujar Nurfarahin.