Wednesday, February 20, 2008

Kekal kesihatan baik untuk kesuburan

DEFINISI kesihatan reproduktif merangkumi fizikal, mental dan sosial yang baik. Ia juga tidak hanya menjurus ketiadaan penyakit atau kelemahan tertentu pada semua perkara yang berkaitan sistem reproduktif, sama ada fungsi mahupun prosesnya.

Kesihatan reproduktif sebaliknya, berkaitan dengan mereka yang boleh mendapatkan kepuasan dan kehidupan seks selamat serta mempunyai kesanggupan melahirkan dan kebebasan untuk memutuskan sama ada, bila dan berapa kali kekerapan, berbuat demikian.

Presiden Persatuan Kesihatan Ibu dan Bayi Malaysia (Mamaneh), Prof Dr Nik Mohd Nasri Ismail berkata, justeru, bagi mengekalkan kesihatan yang baik dan memelihara kesuburan, kesihatan reproduktif adalah isu penting serta bukan hanya di kalangan wanita tetapi juga bagi lelaki.

Dr Nik Mohd Nasri yang juga pakar perunding kanan perbidanan dan sakit puan, berkata antara masalah penyakit kesuburan yang menimbulkan kebimbangan wanita ialah endometriosis dan fibriod. Apabila pasangan mempunyai masalah itu, perkara berkenaan perlu dibincang bersama supaya keputusan dapat diambil untuk mendapat dan memilih rawatan yang sesuai.

Ini berikutan, wanita yang mengalami endometriosis agak sukar hamil. Ini disebabkan beberapa faktor seperti kerosakan fungsi tiub fallopia, ovari atau parut atau adhesions yang boleh menyebabkan organ dalam pelvis melekat antara satu sama lain.

Masalah untuk hamil menjadi lebih rumit jika endometriosis sudah berada pada tahap yang agak teruk. Begitu juga dengan permasalahan sakit ketika bersama suami. Oleh itu, individu terbabit perlu mengetahui tahap penyakitnya. Bagi penyakit endometriosis yang tidak teruk, kehamilan boleh berlaku walaupun tanpa rawatan.

“Dalam merawat penyakit endometriosis dan fibroid, lebih elok berbincang dengan doktor. Pesakit perlu jelas mengenai keputusan rawatan yang diambil dan dirinya berhak untuk mengetahuinya,” katanya ketika memberi ceramah kesihatan wanita anjuran Persatuan Kesihatan Ibu dan Bayi Malaysia (Mamaneh) dan syarikat farmaseutikal, Schering (M) Sdn Bhd di hotel Cititel, Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Nik Mohd Nasri menjelaskan, endometriosis bukan barah. Ia dipastikan melalui penilaian terus (direct visualization) sama ada secara pembedahan laparoskopi ataupun laparotomi, ataupun secara ujian makmal terhadap tisu endometriosis terbabit.

Punca endometriosis pula ialah disebabkan pendarahan haid di dalam ruang pelvis dan pada organ di dalam pelvis seperti di kilang ovari. Pendarahan dalaman itu boleh membuatkan pengumpulan darah dan menyebabkan kilang ovari menjadi besar dengan terbentuknya sista ovari.

“Penyakit ini dihidapi kira-kira 10 hingga 25 peratus wanita di Amerika Syarikat dan United Kingdom tetapi jumlah angka yang dicatatkan di Malaysia tidak diketahui. Punca berlakunya endometriosis belum dikenal pasti dengan tepat. Teori yang paling biasa digunakan untuk menerangkan sebab berlakunya endometriosis ialah teori retro-grade menstruation, iaitu apabila sebahagian daripada darah haid mengalir melalui tiub fallopio dan bukan melalui faraj.

“Secara am, endeometriosis berkait rapat dengan kesuburan. Satu laporan menyatakan, penyakit ini membabitkan 15 hingga 24 peratus kesuburan wanita dan 70 hingga 80 peratus pesakit tidak dapat menjelaskan kesuburan,” katanya.

Cara merawat endometriosis adalah berbeza dan ditentukan selepas mengambil kira keperluan setiap pesakit. Doktor akan meneliti umur, simptom, keinginan untuk mengandung dan tahap penyakit sebelum menentukan rawatan. Umumnya, ada tiga rawatan iaitu terapi perubatan untuk mengurangkan saiz ketumbuhan endometrial; pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan endometrial dan gabungan pembedahan serta terapi perubatan.

Mengenai masalah fibroid, Dr Nik Mohd Nasri berkata, ia juga bukan barah. Fribroid adalah satu ketumbuhan pejal yang biasanya berlaku di dalam dinding rahim. Ketumbuhan itu terjadi daripada otot myometrium. Selain dijumpai di bahagian dinding rahim, fibroid juga boleh ditemui di bahagian lain seperti pangkal rahim, rongga rahim, kilang telur serta di luar rahim.

Beliau berkata, fibroid lebih kerap berlaku pada wanita yang berumur 35 tahun ke atas tetapi juga terdapat kes fibroid pada wanita yang lebih muda.

“Fibroid lazimnya tidak menyebabkan kesakitan semasa haid. Ramai wanita yang mempunyai fibroid tidak menyedari kehadiran ketumbuhan itu. Tetapi kesakitan lebih dirasakan pada wanita yang hamil. Selain itu, kesakitan juga berlaku kerana saiz fibroid membesar ketika hamil. Pembesaran fibroid terjadi kerana rangsangan oleh kadar hormon yang tinggi semasa hamil,” katanya.

Beliau berkata, fibroid jarang menyebabkan masalah untuk hamil kerana amat jarang untuk ketumbuhan itu terletak menutupi kedua bukaan saluran falopian pada rahim. Bagaimanapun, fibroid yang membesar dan muncul ke arah ruang rahim boleh menyebabkan masalah keguguran sekiranya wanita itu hamil.

“Ketiadaan ovulasi (pengeluaran telur) bermakna tiada peluang untuk wanita hamil sendirinya. Jika ia langsung tidak berlaku, tiadalah peluangnya, jika ia jarang berlaku bermakna kuranglah peluangnya untuk hamil,” katanya.

Bagi fibroid begitu besar, doktor akan menasihatkan wanita berkenaan supaya menjalani pembedahan.

Jika, wanita terbabit berusia bawah 40 tahun dan masih mahukan anak, doktor boleh berusaha untuk mengeluarkan fibroid terbabit tanpa mengira berapa jumlahnya. Bagaimanapun, ada kala, rahim terpaksa dikeluarkan jika berlaku pendarahan yang serius semasa pembedahan. Tetapi wanita yang tidak mahu hamil, fibroid dan rahimnya boleh dikeluarkan.

No comments: