Sunday, March 30, 2008

Tradisional atau moden

MANA satu pilihan anda — pil makanan tambahan yang disediakan mengikut kaedah moden atau produk kesihatan tradisional? Yang mana satu lebih bagus?

Apakah garis panduan yang boleh diikut untuk memastikan pelaburan anda itu berbaloi dan paling penting, tidak memudaratkan kesihatan?

Persoalan ini sukar dijawab. Sehingga kini tiada siapa boleh menentukan sama ada kesan produk kesihatan moden lebih baik daripada produk tradisional atau sebaliknya.

Cuma bezanya, produk moden, terutama daripada syarikat farmaseutikal antarabangsa, dianggap lebih meyakinkan kerana produk mereka perlu menjalani beberapa ujian saringan yang ketat sebelum diberi kelulusan untuk dipasarkan di seluruh dunia.

Bagaimanapun, ini bukan bermakna produk penjagaan kesihatan tradisional tidak bermutu kerana ada pengusaha serius membuat kajian untuk memastikan khasiat bahan herba dapat memberi kesan seperti didakwa.

Pun begitu, masih banyak produk kesihatan tradisional tiada kajian saintifik untuk menyokong keberkesanan dan manfaatnya kepada pengguna.

Di negara kita contohnya, berlambak jenama produk tradisional yang kadangkala tidak pernah didengar langsung.

Sebelum membeli produk seperti ini, simpan sedikit rasa sangsi, terutama bagi barangan yang mendakwa boleh merawat beraneka jenis masalah kesihatan, bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Secara logiknya, kemampuan satu produk mengubat pelbagai masalah kesihatan adalah dakwaan yang sangat meragukan dan keterlaluan.

Sedangkan Allah mencipta sumber makanan di dunia ini dengan sifat saling melengkapi. Tiada satu pun jenis makanan, sama ada daripada sumber tumbuh-tumbuhan atau haiwan, mampu membekalkan semua keperluan harian badan. Atas dasar ini, kita disaran mengambil makanan seimbang daripada pelbagai sumber.

Namun, tidak dapat dinafikan produk penjagaan kesihatan tradisional ada kelebihan tersendiri. Perubatan tradisional merujuk kepada gabungan amalan kesihatan, pendekatan, pengetahuan dan kepercayaan menggunakan tumbuh-tumbuhan, haiwan atau garam galian untuk merawat, mengenal pasti dan mengelak penyakit atau mengekalkan kesejahteraan secara keseluruhan.

Perubatan tradisional diguna secara meluas di seluruh dunia. Lebih 80 peratus penduduk dunia, terutama di Afrika, Asia dan Amerika Latin, menggunakan perubatan tradisional untuk menjaga kesihatan. Di China, 30 hingga 50 peratus pengambilan ubat di negara itu adalah ubat tradisional.

Malah, lebih 50 peratus penduduk di negara maju seperti Eropah dan Amerika Utara menggunakan rawatan alternatif atau tradisional sekurang-kurangnya sekali sepanjang hayat. Manakala rakyat Amerika Syarikat membelanjakan RM64.6 bilion untuk produk tradisional. Pasaran antarabangsa produk kesihatan herba dianggarkan berjumlah RM235.6 bilion dan dijangka meningkat kepada RM19 trilion pada 2050.

Bahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menggalakkan perkembangan dunia rawatan tradisional dengan memberi sokongan teknikal dan kemudahan.

Di Tanzania contohnya, WHO dengan kerjasama China menyediakan ubat anti malaria yang dirumus daripada herba Cina, Artemisia annya yang terbukti berkesan merawat dan menghalang penyakit itu.

Antara kaedah penjagaan kesihatan tradisional yang semakin mendapat perhatian masyarakat kita ialah ayurveda. Menurut prinsip ayurveda, masalah kesihatan disebabkan berlaku ketidakseimbangan dalam badan yang disebabkan:

  • Pemilihan makanan tidak seimbang
  • Tabiat tidak sihat
  • Tidak mengamalkan perkara yang boleh mengekalkan kesihatan
  • Ketidaknormalan yang berlaku sekali sekala
  • Senaman yang tidak tetap atau salah
  • Tiada keserasian antara minda dan badan

Jika difikirkan, semua faktor di atas juga ada dalam konsep rawatan moden. Justeru, kita disuruh jaga makan, kerap bersenam dan belajar menangani tekanan. Konsep rawatan tradisional dan moden sebenarnya selaras kerana ia tidak hanya merawat penyakit, tetapi menekankan kesejahteraan secara keseluruhan membabitkan ubat, penjaga, pesakit dan perawat.

Dalam rawatan ayurveda, pesakit diperiksa secara menyeluruh, termasuk aspek psikologi. Diagnosis penyakit merangkumi pemeriksaan fizikal, nadi, air kencing, najis, lidah dan mata, kulit, telinga serta fungsi deria rasa dan dengar.

Biasanya rawatan ayurveda membabitkan pengambilan ubat, diet dan mengamalkan aktiviti tertentu mengikut masalah kesihatan yang dihadapi. Kaedah ini juga wujud dalam rawatan tradisional seperti Melayu dan Cina, cuma pendekatannya mungkin sedikit berbeza.

Malah, dalam rawatan moden juga sama. Apabila mengambil ubat, beberapa peraturan mesti dipatuhi seperti waktu makan ubat (diambil sebelum atau selepas makan), makanan yang perlu dielak serta mesti bersenam.

Tidak kira produk moden atau tradisional, yang penting ialah membuat kajian terlebih dulu. Usah dengar atau terpengaruh dengan cakap kawan kerana apa yang sesuai baginya mungkin memudaratkan kita, terutama bagi individu yang menghidap penyakit.

Lebih baik berbincang dengan doktor sebelum mencuba produk. Setiap satu ada kelebihan dan kekurangan. Paling penting, cari produk yang mempunyai kredibiliti supaya pelaburan anda benar-benar berbaloi.

Berhenti segera jika ada kesan sampingan yang tidak menyenangkan. Ingat, kesihatan kita tiada tukar gantinya.

Kualiti sperma kekal

MUNGKIN ada yang tersenyum membaca berita mengenai tindakan pelakon terkenal Hollywood, Jennifer Aniston membekukan telurnya (ovum) sebagai langkah kekalkan kesuburan bagi mendapat anak kelak.

Mungkin ada pula yang terfikir ia kerja ‘gila’ orang yang terlalu banyak duit. Namun, apa yang dilakukan artis ini bukan kerja gila, sebaliknya ia boleh dianggap satu keperluan untuknya.

Bahkan ia menjadi satu perkara penting untuk dipertimbangkan bagi individu yang disahkan menghidap kanser sebelum menjalani rawatan kemoterapi atau radiasi.

Teknologi sejuk-beku sperma, telur atau embrio sudah lama ada di negara kita di beberapa hospital dan pusat kesuburan, tetapi ia jarang diperkatakan.

Malah, di kalangan pakar perubatan, mungkin ada yang tidak tahu mengenai teknologi berguna ini untuk dicadangkan kepada pesakit.

Biasanya, apabila disahkan menghidap kanser, kebanyakan orang tidak terfikir untuk menyelamatkan kesuburan terlebih dulu. Lebih penting ialah mahu sembuh dan meneruskan hidup sebaik mungkin.

Namun, pakar perubatan harus mencadangkan kepada pesakit untuk menyimpan sperma atau telur bagi mengekalkan kesuburan dan meningkatkan peluang mempunyai anak selepas rawatan.

Terpulang kepada pesakit untuk menimbangkannya, tetapi yang penting mereka perlu tahu wujudnya kaedah mengekalkan kesuburan dan harapan mengandung, terutama bagi pesakit wanita, masih ada.

Sejarah teknologi sejuk-beku ini bermula pada 1953 apabila saintis berjaya menyimpan sperma dan ini diikuti penyimpanan embrio (telur yang bersenyawa dengan sperma) 30 tahun kemudian. Australia mencatat sejarah kehamilan pertama menggunakan telur sejuk-beku pada pada 1984.

Kajian Pusat Sains Kesihatan Hamilton, Kanada membuktikan penyimpanan dan sejuk-beku sperma (juga dipanggil penyimpanan krio) adalah cara berkesan untuk mengekalkan kesuburan, terutama di kalangan remaja dan lelaki muda yang menghidap kanser.

Menurut Ketua Embriologi Pusat Kesuburan Konsep, Hospital Perkhidmatan Damai, Yee Siew Yin, pembedahan, kemoterapi dan radiasi dikenal pasti menjadi antara punca ketidaksuburan sementara atau kekal dengan menjejaskan keupayaan untuk ereksi, ejakulasi atau penghasilan sperma.

Laporan kajian terbaru disiarkan dalam jurnal Persatuan Kanser Amerika pada September tahun lalu menyatakan, walaupun sperma yang disejuk-beku mempunyai kualiti sebaik sperma ‘baru’, ia jarang dimanfaatkan untuk mengekalkan kesuburan pesakit kanser lelaki.

Kajian Keberkesanan Penyimpanan Sperma Bagi Pesakit Kanser Remaja dan Dewasa Lelaki mendapati, hanya 18 peratus memilih untuk menyimpan sperma mereka sebelum menjalani rawatan kanser.

Di negara kita, bilangan lelaki yang menyimpan sperma boleh dibilang dengan jari kerana ia dianggap perkara yang sangat baru, asing dan mungkin pelik untuk dilakukan.

Persoalannya, mengapa pesakit kanser lelaki perlu menyimpan sperma sebelum rawatan? Bukankah secara semula jadi penghasilan sperma berlaku sepanjang hayat dan pasti mereka boleh menghasilkan sperma apabila sembuh kelak?

Menurut Yee, memang betul penghasilan sperma berlaku sepanjang hayat, tetapi rawatan kanser, terutama kemoterapi dan radiasi, bukan saja boleh menjejaskan penghasilan sperma tetapi turut mempengaruhi jumlah, kualiti, bentuk menjadi tidak normal (sama ada mempunyai dua kepala atau dua ekor) serta daya pergerakan sperma.

Malah dalam sesetengah kes, ada pesakit kanser tidak boleh menghasilkan sperma selepas tamat rawatan, walaupun air mani masih ada.

Perlu diingat, ada air mani bukan bermakna ada sperma. Ada orang walaupun air maninya banyak, ia tidak mengandungi sperma!

Pesakit yang menjalani rawatan yang mungkin boleh menjejaskan kesuburan dinasihatkan supaya mendapatkan analisis air mani dalam masa dua tahun selepas tamat sesi kemoterapi atau radiasi bagi mengetahui kesan jangka panjang rawatan.

“Air mani yang mempunyai jumlah sperma lebih 20 juta dalam satu mililiter sesuai menjalani teknik permanian beradas (IUI) dan persenyawaan luar rahim (IVF).

“Manakala jika bilangan sperma kurang daripada 15 juta per mililiter, dinasihatkan menjalani prosedur suntikan sperma intrasitoplasmik (ICSI) iaitu sperma disuntik ke dalam telur untuk disenyawakan.

“Kajian menunjukkan 50 peratus pesakit kanser lelaki mengalami masalah kurang bilangan sperma selepas menjalani rawatan kemoterapi.

“Jadi menyimpan sperma secara sejuk-beku antara cara yang boleh digunakan untuk mengekalkan kesuburan lelaki. Sperma yang disimpan mempunyai kualiti dan kesan sama seperti sebelum menjalani rawatan kanser,” katanya.

Kaedah penyimpanan krio

Sel sperma boleh musnah ketika proses nyah beku. Untuk mengelak perkara ini, bahan pelindung sel yang dibuat daripada kuning telur, gliserol dan larutan penimbal akan dicampurkan ke dalam air mani.

“Dalam kaedah ini, sperma disimpan pada suhu di bawah —196° Celsius di dalam cecair nitrogen. Sebelum sperma boleh disejuk beku, kita jalankan ujian darah terlebih dulu sebagai saringan virus yang boleh berjangkit seperti HIV, hepatitis dan siflis.

“Sperma lelaki yang ada penyakit berjangkit disimpan dalam tangki berbeza untuk mengelak kemungkinan berlaku jangkitan silang antara sperma A dengan sperma B, walaupun semuanya disimpan dalam bekas khas yang bertutup rapi. Maknanya, jika A menghidap hepatitis, spermanya disimpan sperma lelaki lain yang turut menghidap hepatitis,” katanya.

Penasihat kesuburan akan memaklumkan penyimpan apa perlu dilakukan pada sampel sperma mereka yang dibekukan pada masa depan — sama ada hendak diderma, dimusnah atau terus disimpan.

Atas faktor budaya dan agama, ramai memilih sperma mereka dimusnahkan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. Bagaimanapun, setiap prosedur yang hendak dilakukan perlu mendapat kebenaran penyimpan terlebih dulu.

Beberapa peraturan perlu dipatuhi apabila pesakit kanser lelaki mahu menyimpan sperma mereka, iaitu:

  • Beritahu doktor mengenai hasrat anda untuk menyimpan sperma, terutama sebaik disahkan menghidap kanser; sebaik-baiknya tiga minggu sebelum rawatan dimulakan.
  • Perkara penting — tiada ejakulasi dalam masa sekurang-kurangnya dua hari (sebaik-baiknya antara tiga hingga lima hari) sebelum sampel sperma diambil. Maknanya dalam tempoh ini, jangan lakukan hubungan seks atau onani bagi membolehkan sampel sperma terbaik diambil.
  • Analisis sperma dilakukan terlebih dulu dan jika kualiti sperma kurang baik, penyimpan dinasihatkan menyimpan lebih daripada satu sampel bagi mempunyai sampel yang cukup apabila mahu digunakan. Jika didapati air mani tidak mengandungi sperma, proses seterusnya tidak perlu.
  • Selepas analisis, sperma ini dicampur dengan larutan pelindung bagi mengelak kerosakan sel apabila disejuk-beku. Setiap sampel dimasukkan dalam straw khas yang mempunyai kod warna dan dilabel dengan nombor siri sebelum disimpan dalam cecair nitrogen. Setiap batang straw mengandungi kira-kira 20 juta sperma bagi setiap mililiter.
  • Analisis sperma kedua dilakukan sejurus selepas sperma disejuk-beku bagi mengetahui kadar kejayaan hidup sperma. Biasanya lebih 50 peratus sperma masih dalam keadaan baik yang membolehkan ia terus disimpan.
Dalam keadaan sejuk-beku, sperma menjadi tidak aktif dan kembali aktif semula apabila dinyahbeku. Jika kadar kejayaan hidup terlalu rendah, ia dimusnahkan dan pesakit perlu memberi sampel sperma baru.

“Walaupun teknik ini sudah lama digunakan dan terbukti dapat mengekalkan kualiti sperma, tiada jaminan sperma akan hidup selepas dinyahbeku. Malah, kita juga tidak boleh menjamin sperma akan ‘subur’ atau berjaya bersenyawa jika digunakan dalam teknik IUI, IVF atau ICSI,” katanya.

Penyimpanan telur dan embrio

Penyimpanan telur adalah kaedah pengekalan kesuburan bagi wanita yang disahkan menghidap kanser, tetapi belum menjalani kemoterapi atau radiasi.

Bagaimanapun, mereka mesti mendapatkan nasihat pakar onkologi terlebih dulu kerana pesakit perlu mengambil suntikan hormon kesuburan yang dikhuatiri boleh menggalakkan sesetengah jenis kanser merebak.

Ini adalah pilihan bagi wanita yang tidak mahu menyimpan embrio (telur yang disenyawa). Kaedah ini juga sesuai bagi wanita yang mahukan anak pada masa depan atas pelbagai sebab, antaranya tiada pasangan, ada sejarah keluarga menopaus awal atau masalah kesihatan lain.

“Kemoterapi atau radiasi menyebabkan pengeluaran telur (ovum) yang menghalang peluang untuk mengandung. Untuk mengekalkan kesuburan, mereka boleh menyimpan telur untuk kegunaan akan datang. Lebih muda usia telur yang disimpan, kejayaan untuk hamil lebih tinggi.

“Contohnya jika telur disimpan ketika berumur 30 tahun, ia tetap akan ada pada umur itu walaupun digunakan lima atau enam tahun kemudian. Teknik ini membolehkan kita mengekalkan umur telur seperti ketika ia disimpan supaya kejayaan hamil lebih tinggi,” katanya.

Menurut Yee, proses yang perlu dilalui wanita lebih rumit dan panjang. Kaedah penyimpanan telur sama seperti proses untuk IVF. Ia merangkumi suntikan hormon untuk menghentikan ovulasi diikuti lebih banyak suntikan hormon bagi merangsang ovari bagi mengeluar dan mematangkan beberapa telur.

Apabila telur matang, hormon tambahan diberi dan telur dikeluar menggunakan jarum berpandukan ultra gelombang melalui faraj. Wanita akan diberi suntikan bius menyeluruh sebelum proses pengeluaran telur dilakukan dan telur terus disejuk-beku sebaik dikeluarkan.

Antara proses yang perlu dijalani wanita ialah:
  • Ujian hormon dalam masa dua hingga enam hari ketika haid
  • Ujian ultra gelombang untuk rahim
  • Ujian saringan HIV, Hepatitis B dan penyakit jangkitan kelamin
  • Kaunseling dan pendidikan

Kemudian wanita perlu menyuntik hormon kesuburan (dua suntikan sehari) selama 12 hari bermula pada hari kedua hingga ke-12.

Biasanya, suntikan hormon berjaya membantu wanita mempunyai antara 10 hingga 15 telur untuk diambil pada hari ke-14.

Bagi yang mahu menyimpan embrio, kerjasama suami diperlukan untuk memberi sampel sperma supaya proses persenyawaan boleh dilakukan. Telur dan embrio ini akan dilabel dan disimpan dalam bekas khas — satu telur atau embrio bagi setiap bekas.

“Beberapa kehamilan yang berjaya dilaporkan menggunakan sperma dan embrio sejuk-beku, tetapi kadar kejayaan kehamilan menggunakan telur beku sangat rendah.

“Penyimpanan telur lebih sukar kerana ia berisiko mengalami masalah kekurangan air sebaik ia disejuk-beku. Ini menyebabkan pembentukan kristal yang menurunkan kemampuan hidup telur berbanding sperma dan embrio.

“Penuaan telur berlaku serentak dengan peningkatan umur wanita. Selepas umur 27 tahun kualiti telur mula merosot dan pada umur 42 tahun kejayaan untuk mengandung sangat rendah.

“Ini sebabnya pakar menyarankan lebih baik telur disimpan ketika wanita masih muda. Kajian menunjukkan telur, sperma atau embrio boleh disimpan selama mana dikehendaki,” katanya.

Seperkara penting yang perlu diketahui, penyimpanan sejuk-beku ini hanya untuk kehamilan dibantu melalui teknik IUI, IVF atau ICSI saja dan bukan kehamilan semula jadi.

Masalah kerap berlaku jika pesakit masih muda, terutama remaja atau awal dewasa, kerana mereka tidak faham atau boleh melihat kemungkinan masa depan.

Ini sebabnya kita perlu sentiasa beringat dan bijak menabung. Tiada siapa tahu apa bakal berlaku pada masa depan, terutama apabila membabitkan kesihatan yang semakin mahal kosnya.

Kos penyimpanan sejuk-beku ini berbeza mengikut jenis dan institusi yang mengendalikannya. Pada umumnya kos penyimpanan sperma sungguh murah iaitu kira-kira RM350 setahun diikuti RM250 bagi tahun berikutnya.

Harga untuk menyimpan telur ialah antara RM6,000 hingga RM8,000 (termasuk kos rawatan hormon) dengan yuran simpanan RM500 setahun.

Manakala kos simpanan embrio pula dalam lingkungan RM11,500 hingga RM15,000 (untuk prosedur IVF) dengan yuran tahunan sebanyak RM500.

“Teknologi ini memberi harapan baru kepada pesakit kanser, terutama yang masih muda dan tiada anak. Kanser bukan penamat hidup, tetapi ini adalah cabaran untuk meneruskan hidup dengan lebih baik.

“Peluang mempunyai anak dengan bantuan teknologi hari ini boleh menguatkan semangat pesakit dan meningkatkan kemampuan badan melawan penyakit,” katanya.

Sumber:
Harian Metro

Bantu bayi waktu tidur

BAYI baru lahir menghabiskan sepanjang masanya (siang dan malam) dengan tidur dan hanya bangun setiap beberapa jam untuk menyusu.

Perkara ini menyebabkan ibu bapa yang baru menimang cahaya mata bimbang kerana tidak tahu berapa lama anak mereka perlu tidur dalam sehari.

Malangnya, tiada cara menentukannya kerana bayi baru lahir masih keliru dan tidak dapat membezakan antara siang dengan malam.

Mereka sangka perlu bangun pada waktu malam dan tidur sepanjang siang. Ini sebabnya bayi berjaga pada waktu malam dan ‘mengacau’ waktu tidur anda.

Secara umumnya, bayi baru lahir tidur antara lapan hingga sembilan jam pada waktu siang dan lapan jam pada waktu malam. Kebanyakan bayi tidak tidur terus (enam hingga lapan jam) pada waktu malam sehingga mereka berumur tiga bulan.

Bayi mempunyai perut kecil dan cepat berasa lapar. Dalam kebanyakan kes, bayi terjaga setiap tiga hingga empat jam untuk menyusu.

Walaupun bayi memerlukan tidur yang banyak, satu perkara perlu diberi perhatian iaitu dalam usia lima hingga enam minggu pertama, jangan biarkan si kecil tidur melebihi lima jam.

Jika ia berlaku, kejutkan bayi untuk diberi susu. Bayi yang lahir tidak cukup bulan perlu diberi perhatian lebih kerana sesetengahnya memerlukan penyusuan lebih kerap.

Justeru, usah teragak-agak untuk mengejutkan mereka daripada tidur kerana mereka perlu diberi susu.

Perhatikan perubahan pada tabiat tidur bayi anda. Jika bayi tidur secara konsisten dan terjaga secara tiba-tiba, si kecil mungkin mengalami masalah seperti jangkitan telinga. Bagaimanapun, bukan semua kes terjaga tiba-tiba disebabkan jangkitan, sesetengah gangguan tidur disebabkan pertumbuhan badan atau rangsangan yang terlalu kuat.

Seperkara lagi, jangan tidurkan bayi dengan botol susu di mulutnya. Tindakan ini berbahaya kerana boleh menyebabkan bayi mendapat jangkitan telinga atau tercekik.

Membantu bayi tidur

Bayi tidak dapat menentukan waktu tidur dan bangun mereka. Bagaimanapun, ibu bapa boleh membantu mereka tidur dengan mengenal pasti bila si kecil mengantuk, mengajarnya tidur sendiri dan menyediakan persekitaran sesuai, selesa serta selamat untuk tidur.

Apa tanda bayi sedia untuk tidur?

Ada beberapa tanda yang menunjukkan bayi anda sedia untuk tidur seperti:

- Menggosok-gosok mata
- Menguap
- Asyik melihat ke arah lain
- Meragam

Bagaimana cara membantu bayi tidur?

Bukan semua bayi tahu tidur sendiri. Apabila sampai waktunya, kebanyakan ibu bapa mendodoi atau menyusukan anak supaya dia terlena. Membentuk rutin tidur adalah tindakan baik.

Bagaimanapun, elakkan bayi terlena dalam dakapan anda kerana jika terbiasa, bayi menganggap mereka perlu didakap jika mahu menyuruh mereka tidur.

Apabila terjaga, bayi mungkin tidak boleh tidur balik dengan sendiri dan memerlukan bantuan anda untuk menidurkan mereka semula.

Pakar menyarankan supaya membiarkan bayi mengantuk dalam dakapan dan pindahkan ke katil ketika mereka masih terjaga. Cara ini secara tidak langsung membolehkan bayi belajar untuk tidur sendiri.

Selain itu, memainkan muzik lembut ketika bayi mengantuk boleh membantu membentuk rutin tidur si kecil.

Anda boleh membentuk tidur malam yang baik dengan tidak memberi rangsangan ketika makan malam atau menukar lampin.

Pada masa sama, malapkan cahaya lampu dan tahan keinginan untuk bercakap atau bermain dengan bayi.

Kaedah ini memberitahu bayi bahawa malam adalah waktu untuk tidur. Bayi yang terlalu penat biasanya lebih sukar tidur pada waktu malam berbanding bayi yang cukup tidur ketika siang.

Jadi usaha untuk tidak membenarkan bayi tidur ketika siang dengan harapan dia mudah tidur pada waktu malam bukan tindakan bijak.

Otak bayi mengambil masa beberapa minggu untuk menerima isyarat perbezaan antara siang dan malam. Malangnya, sehingga kini tiada cara untuk mempercepatkan penerimaan isyarat itu melainkan membentuk rutin tidur secara konsisten.

Posisi tidur untuk bayi

Di Amerika Syarikat, bayi ditidurkan dalam posisi meniarap dan di negara lain, bayi disaran tidur secara terlentang. Yang mana satu lebih baik?

Penyelidik mendapati sindrom bayi mati mengejut (SIDS) ada kaitan dengan posisi tidur meniarap.

Kini pakar sependapat, posisi tidur yang terbaik ialah baring terlentang. Tidur mengiring juga boleh, tetapi ia dikatakan lebih berisiko daripada berbaring.

Kajian lain mendapati penggunaan tilam lembut, cadar yang mudah tertanggal, selimut tebal (hingga menyebabkan kepanasan) juga meningkatkan risiko SIDS.

Risiko lebih tinggi jika bayi ditidurkan secara meniarap di atas tilam lembut.

Antara faktor lain SIDS ialah ibu merokok, penjagaan sebelum bersalin yang teruk dan kelahiran pramatang (tidak cukup bulan).

Sejak Akademi Paediatrik Amerika (AAP) menyarankan tidur secara baring terlentang, kadar kematian mengejut di kalangan bayi turun sebanyak 40 peratus.

Tidur terlentang juga ada manfaat lain kerana bayi yang ditidurkan dalam posisi ini kurang kemungkinan mengalami muntah. Malah, banyak kes tercekik dilaporkan berlaku pada bayi yang tidur meniarap.

Saranan menidurkan bayi

- Baringkan bayi di atas tilam yang tidak terlalu lembut atau keras, cadar tegang dan kemas (tidak mudah tertanggal)

- Alihkan bantal peluk, selimut, alat permainan dan lain-lain barang yang lembut

- Guna sarung tidur untuk bayi sebagai alternatif kepada selimut

- Jika menggunakan selimut, ukur panjang hingga ke dada bayi dan sisipkan bahagian selebihnya di bawah tilam

- Pastikan kepala bayi tidak tertutup ketika tidur

- Jangan tidurkan bayi di atas tilam air, sofa, bantal atau permukaan lembut yang lain

- Dalam sesetengah keadaan, tidur bersama bayi boleh mendatangkan bahaya kepada si kecil

- Letakkan katil bayi berhampiran katil ibu bapa supaya mudah diberi susu atau jika dia terjaga

- Jika ibu memilih tidur bersama bagi mudah diberi susu badan, pastikan bayi tidak tidur meniarap, elakkan selimut yang boleh menutup mukanya dan katil tidak terlalu rapat pada dinding atau perabot bilik untuk mengelak masalah lain

- Jangan benarkan adik beradik lain tidur sekatil dengan bayi

- Ibu bapa yang tidur bersama bayi diingatkan untuk tidak mengambil ubat yang menyebabkan mereka sukar bangun

- Untuk mengelak kepanasan, pakaikan bayi pakaian nipis dan selesa. Tentukan suhu bilik tidak terlalu panas. Sentuh kulit bayi untuk memastikan dia tidak kepanasan

Walaupun bayi digalak tidur terlentang, anda boleh letak si kecil dalam posisi meniarap ketika dia bangun. Posisi ini boleh membantu proses pembentukan otot dan mata, selain mengelak belakang kepala menjadi leper.