Sunday, March 30, 2008

Kualiti sperma kekal

MUNGKIN ada yang tersenyum membaca berita mengenai tindakan pelakon terkenal Hollywood, Jennifer Aniston membekukan telurnya (ovum) sebagai langkah kekalkan kesuburan bagi mendapat anak kelak.

Mungkin ada pula yang terfikir ia kerja ‘gila’ orang yang terlalu banyak duit. Namun, apa yang dilakukan artis ini bukan kerja gila, sebaliknya ia boleh dianggap satu keperluan untuknya.

Bahkan ia menjadi satu perkara penting untuk dipertimbangkan bagi individu yang disahkan menghidap kanser sebelum menjalani rawatan kemoterapi atau radiasi.

Teknologi sejuk-beku sperma, telur atau embrio sudah lama ada di negara kita di beberapa hospital dan pusat kesuburan, tetapi ia jarang diperkatakan.

Malah, di kalangan pakar perubatan, mungkin ada yang tidak tahu mengenai teknologi berguna ini untuk dicadangkan kepada pesakit.

Biasanya, apabila disahkan menghidap kanser, kebanyakan orang tidak terfikir untuk menyelamatkan kesuburan terlebih dulu. Lebih penting ialah mahu sembuh dan meneruskan hidup sebaik mungkin.

Namun, pakar perubatan harus mencadangkan kepada pesakit untuk menyimpan sperma atau telur bagi mengekalkan kesuburan dan meningkatkan peluang mempunyai anak selepas rawatan.

Terpulang kepada pesakit untuk menimbangkannya, tetapi yang penting mereka perlu tahu wujudnya kaedah mengekalkan kesuburan dan harapan mengandung, terutama bagi pesakit wanita, masih ada.

Sejarah teknologi sejuk-beku ini bermula pada 1953 apabila saintis berjaya menyimpan sperma dan ini diikuti penyimpanan embrio (telur yang bersenyawa dengan sperma) 30 tahun kemudian. Australia mencatat sejarah kehamilan pertama menggunakan telur sejuk-beku pada pada 1984.

Kajian Pusat Sains Kesihatan Hamilton, Kanada membuktikan penyimpanan dan sejuk-beku sperma (juga dipanggil penyimpanan krio) adalah cara berkesan untuk mengekalkan kesuburan, terutama di kalangan remaja dan lelaki muda yang menghidap kanser.

Menurut Ketua Embriologi Pusat Kesuburan Konsep, Hospital Perkhidmatan Damai, Yee Siew Yin, pembedahan, kemoterapi dan radiasi dikenal pasti menjadi antara punca ketidaksuburan sementara atau kekal dengan menjejaskan keupayaan untuk ereksi, ejakulasi atau penghasilan sperma.

Laporan kajian terbaru disiarkan dalam jurnal Persatuan Kanser Amerika pada September tahun lalu menyatakan, walaupun sperma yang disejuk-beku mempunyai kualiti sebaik sperma ‘baru’, ia jarang dimanfaatkan untuk mengekalkan kesuburan pesakit kanser lelaki.

Kajian Keberkesanan Penyimpanan Sperma Bagi Pesakit Kanser Remaja dan Dewasa Lelaki mendapati, hanya 18 peratus memilih untuk menyimpan sperma mereka sebelum menjalani rawatan kanser.

Di negara kita, bilangan lelaki yang menyimpan sperma boleh dibilang dengan jari kerana ia dianggap perkara yang sangat baru, asing dan mungkin pelik untuk dilakukan.

Persoalannya, mengapa pesakit kanser lelaki perlu menyimpan sperma sebelum rawatan? Bukankah secara semula jadi penghasilan sperma berlaku sepanjang hayat dan pasti mereka boleh menghasilkan sperma apabila sembuh kelak?

Menurut Yee, memang betul penghasilan sperma berlaku sepanjang hayat, tetapi rawatan kanser, terutama kemoterapi dan radiasi, bukan saja boleh menjejaskan penghasilan sperma tetapi turut mempengaruhi jumlah, kualiti, bentuk menjadi tidak normal (sama ada mempunyai dua kepala atau dua ekor) serta daya pergerakan sperma.

Malah dalam sesetengah kes, ada pesakit kanser tidak boleh menghasilkan sperma selepas tamat rawatan, walaupun air mani masih ada.

Perlu diingat, ada air mani bukan bermakna ada sperma. Ada orang walaupun air maninya banyak, ia tidak mengandungi sperma!

Pesakit yang menjalani rawatan yang mungkin boleh menjejaskan kesuburan dinasihatkan supaya mendapatkan analisis air mani dalam masa dua tahun selepas tamat sesi kemoterapi atau radiasi bagi mengetahui kesan jangka panjang rawatan.

“Air mani yang mempunyai jumlah sperma lebih 20 juta dalam satu mililiter sesuai menjalani teknik permanian beradas (IUI) dan persenyawaan luar rahim (IVF).

“Manakala jika bilangan sperma kurang daripada 15 juta per mililiter, dinasihatkan menjalani prosedur suntikan sperma intrasitoplasmik (ICSI) iaitu sperma disuntik ke dalam telur untuk disenyawakan.

“Kajian menunjukkan 50 peratus pesakit kanser lelaki mengalami masalah kurang bilangan sperma selepas menjalani rawatan kemoterapi.

“Jadi menyimpan sperma secara sejuk-beku antara cara yang boleh digunakan untuk mengekalkan kesuburan lelaki. Sperma yang disimpan mempunyai kualiti dan kesan sama seperti sebelum menjalani rawatan kanser,” katanya.

Kaedah penyimpanan krio

Sel sperma boleh musnah ketika proses nyah beku. Untuk mengelak perkara ini, bahan pelindung sel yang dibuat daripada kuning telur, gliserol dan larutan penimbal akan dicampurkan ke dalam air mani.

“Dalam kaedah ini, sperma disimpan pada suhu di bawah —196° Celsius di dalam cecair nitrogen. Sebelum sperma boleh disejuk beku, kita jalankan ujian darah terlebih dulu sebagai saringan virus yang boleh berjangkit seperti HIV, hepatitis dan siflis.

“Sperma lelaki yang ada penyakit berjangkit disimpan dalam tangki berbeza untuk mengelak kemungkinan berlaku jangkitan silang antara sperma A dengan sperma B, walaupun semuanya disimpan dalam bekas khas yang bertutup rapi. Maknanya, jika A menghidap hepatitis, spermanya disimpan sperma lelaki lain yang turut menghidap hepatitis,” katanya.

Penasihat kesuburan akan memaklumkan penyimpan apa perlu dilakukan pada sampel sperma mereka yang dibekukan pada masa depan — sama ada hendak diderma, dimusnah atau terus disimpan.

Atas faktor budaya dan agama, ramai memilih sperma mereka dimusnahkan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. Bagaimanapun, setiap prosedur yang hendak dilakukan perlu mendapat kebenaran penyimpan terlebih dulu.

Beberapa peraturan perlu dipatuhi apabila pesakit kanser lelaki mahu menyimpan sperma mereka, iaitu:

  • Beritahu doktor mengenai hasrat anda untuk menyimpan sperma, terutama sebaik disahkan menghidap kanser; sebaik-baiknya tiga minggu sebelum rawatan dimulakan.
  • Perkara penting — tiada ejakulasi dalam masa sekurang-kurangnya dua hari (sebaik-baiknya antara tiga hingga lima hari) sebelum sampel sperma diambil. Maknanya dalam tempoh ini, jangan lakukan hubungan seks atau onani bagi membolehkan sampel sperma terbaik diambil.
  • Analisis sperma dilakukan terlebih dulu dan jika kualiti sperma kurang baik, penyimpan dinasihatkan menyimpan lebih daripada satu sampel bagi mempunyai sampel yang cukup apabila mahu digunakan. Jika didapati air mani tidak mengandungi sperma, proses seterusnya tidak perlu.
  • Selepas analisis, sperma ini dicampur dengan larutan pelindung bagi mengelak kerosakan sel apabila disejuk-beku. Setiap sampel dimasukkan dalam straw khas yang mempunyai kod warna dan dilabel dengan nombor siri sebelum disimpan dalam cecair nitrogen. Setiap batang straw mengandungi kira-kira 20 juta sperma bagi setiap mililiter.
  • Analisis sperma kedua dilakukan sejurus selepas sperma disejuk-beku bagi mengetahui kadar kejayaan hidup sperma. Biasanya lebih 50 peratus sperma masih dalam keadaan baik yang membolehkan ia terus disimpan.
Dalam keadaan sejuk-beku, sperma menjadi tidak aktif dan kembali aktif semula apabila dinyahbeku. Jika kadar kejayaan hidup terlalu rendah, ia dimusnahkan dan pesakit perlu memberi sampel sperma baru.

“Walaupun teknik ini sudah lama digunakan dan terbukti dapat mengekalkan kualiti sperma, tiada jaminan sperma akan hidup selepas dinyahbeku. Malah, kita juga tidak boleh menjamin sperma akan ‘subur’ atau berjaya bersenyawa jika digunakan dalam teknik IUI, IVF atau ICSI,” katanya.

Penyimpanan telur dan embrio

Penyimpanan telur adalah kaedah pengekalan kesuburan bagi wanita yang disahkan menghidap kanser, tetapi belum menjalani kemoterapi atau radiasi.

Bagaimanapun, mereka mesti mendapatkan nasihat pakar onkologi terlebih dulu kerana pesakit perlu mengambil suntikan hormon kesuburan yang dikhuatiri boleh menggalakkan sesetengah jenis kanser merebak.

Ini adalah pilihan bagi wanita yang tidak mahu menyimpan embrio (telur yang disenyawa). Kaedah ini juga sesuai bagi wanita yang mahukan anak pada masa depan atas pelbagai sebab, antaranya tiada pasangan, ada sejarah keluarga menopaus awal atau masalah kesihatan lain.

“Kemoterapi atau radiasi menyebabkan pengeluaran telur (ovum) yang menghalang peluang untuk mengandung. Untuk mengekalkan kesuburan, mereka boleh menyimpan telur untuk kegunaan akan datang. Lebih muda usia telur yang disimpan, kejayaan untuk hamil lebih tinggi.

“Contohnya jika telur disimpan ketika berumur 30 tahun, ia tetap akan ada pada umur itu walaupun digunakan lima atau enam tahun kemudian. Teknik ini membolehkan kita mengekalkan umur telur seperti ketika ia disimpan supaya kejayaan hamil lebih tinggi,” katanya.

Menurut Yee, proses yang perlu dilalui wanita lebih rumit dan panjang. Kaedah penyimpanan telur sama seperti proses untuk IVF. Ia merangkumi suntikan hormon untuk menghentikan ovulasi diikuti lebih banyak suntikan hormon bagi merangsang ovari bagi mengeluar dan mematangkan beberapa telur.

Apabila telur matang, hormon tambahan diberi dan telur dikeluar menggunakan jarum berpandukan ultra gelombang melalui faraj. Wanita akan diberi suntikan bius menyeluruh sebelum proses pengeluaran telur dilakukan dan telur terus disejuk-beku sebaik dikeluarkan.

Antara proses yang perlu dijalani wanita ialah:
  • Ujian hormon dalam masa dua hingga enam hari ketika haid
  • Ujian ultra gelombang untuk rahim
  • Ujian saringan HIV, Hepatitis B dan penyakit jangkitan kelamin
  • Kaunseling dan pendidikan

Kemudian wanita perlu menyuntik hormon kesuburan (dua suntikan sehari) selama 12 hari bermula pada hari kedua hingga ke-12.

Biasanya, suntikan hormon berjaya membantu wanita mempunyai antara 10 hingga 15 telur untuk diambil pada hari ke-14.

Bagi yang mahu menyimpan embrio, kerjasama suami diperlukan untuk memberi sampel sperma supaya proses persenyawaan boleh dilakukan. Telur dan embrio ini akan dilabel dan disimpan dalam bekas khas — satu telur atau embrio bagi setiap bekas.

“Beberapa kehamilan yang berjaya dilaporkan menggunakan sperma dan embrio sejuk-beku, tetapi kadar kejayaan kehamilan menggunakan telur beku sangat rendah.

“Penyimpanan telur lebih sukar kerana ia berisiko mengalami masalah kekurangan air sebaik ia disejuk-beku. Ini menyebabkan pembentukan kristal yang menurunkan kemampuan hidup telur berbanding sperma dan embrio.

“Penuaan telur berlaku serentak dengan peningkatan umur wanita. Selepas umur 27 tahun kualiti telur mula merosot dan pada umur 42 tahun kejayaan untuk mengandung sangat rendah.

“Ini sebabnya pakar menyarankan lebih baik telur disimpan ketika wanita masih muda. Kajian menunjukkan telur, sperma atau embrio boleh disimpan selama mana dikehendaki,” katanya.

Seperkara penting yang perlu diketahui, penyimpanan sejuk-beku ini hanya untuk kehamilan dibantu melalui teknik IUI, IVF atau ICSI saja dan bukan kehamilan semula jadi.

Masalah kerap berlaku jika pesakit masih muda, terutama remaja atau awal dewasa, kerana mereka tidak faham atau boleh melihat kemungkinan masa depan.

Ini sebabnya kita perlu sentiasa beringat dan bijak menabung. Tiada siapa tahu apa bakal berlaku pada masa depan, terutama apabila membabitkan kesihatan yang semakin mahal kosnya.

Kos penyimpanan sejuk-beku ini berbeza mengikut jenis dan institusi yang mengendalikannya. Pada umumnya kos penyimpanan sperma sungguh murah iaitu kira-kira RM350 setahun diikuti RM250 bagi tahun berikutnya.

Harga untuk menyimpan telur ialah antara RM6,000 hingga RM8,000 (termasuk kos rawatan hormon) dengan yuran simpanan RM500 setahun.

Manakala kos simpanan embrio pula dalam lingkungan RM11,500 hingga RM15,000 (untuk prosedur IVF) dengan yuran tahunan sebanyak RM500.

“Teknologi ini memberi harapan baru kepada pesakit kanser, terutama yang masih muda dan tiada anak. Kanser bukan penamat hidup, tetapi ini adalah cabaran untuk meneruskan hidup dengan lebih baik.

“Peluang mempunyai anak dengan bantuan teknologi hari ini boleh menguatkan semangat pesakit dan meningkatkan kemampuan badan melawan penyakit,” katanya.

Sumber:
Harian Metro

No comments: