Monday, March 31, 2008

Awasi anak anda - 1

Elak dekorasi bahayakan anak

Kecederaan di rumah yang membabitkan kanak-kanak ada kaitan dengan umur mereka

MENGIKUT kajian, kecederaan yang dialami kanak-kanak terutama berumur satu hingga dua tahun sering terjadi di rumah.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu memastikan persekitaran rumah selamat dan memastikan dekorasi dan hiasan dalaman mengambil kira perkembangan anak-anak.

Bagaimanapun, kita sering mendengar ibu bapa tidak tahu mengendalikan anak-anak dan menghadapi sebarang kemungkinan apabila berlaku kemalangan seperti anak terjatuh.

Pakar Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata, kecederaan di rumah yang membabitkan kanak-kanak ada kaitannya dengan umur mereka.

Katanya, kebanyakan kejadian yang berlaku membabitkan kanak-kanak berusia dua tahun kerana ada kaitan dengan keupayaan dan kebolehan mereka merangkak, berjalan dan memanjat ke tempat berbahaya.

"Sifat untuk mengetahui sesuatu yang baru serta kecenderungan memasukkan benda ke dalam mulut menyebabkan mereka paling berisiko mendapat kecederaan atau terjatuh," katanya.

Dr Zulkifli berkata, dalam kebanyakan kes kecederaan atau terjatuh, ibu bapa tidak tahu bagaimana mengendalikan situasi apabila anak mereka terjatuh atau cedera.

Katanya, kekurangan pengetahuan mengenai bantuan kecemasan menyebabkan kebanyakan kes kecederaan membabitkan kanak-kanak lambat dirujuk kepada wad kecemasan sehingga menyebabkan kecacatan kekal dan lebih teruk tidak dapat diselamatkan.

Apakah yang ibu bapa boleh lakukan jika anak terjatuh? Tindakan pertama adalah mengesan tanda kecederaan dan luka yang dialaminya.

Bagi kes pendarahan ibu bapa dinasihatkan membawa segera ke klinik atau hospital terutama jika anda tidak tahu bagaimana menghentikan pendarahan itu.

Jika anak terjatuh, bilakah masa yang sesuai dibawa ke hospital atau klinik?

Kanak-kanak yang baru belajar bertatih sering kali terjatuh jika tiada kecederaan serius atau pendarahan tidak perlu di bawa ke hospital. Namun, jika anak anda menunjukkan tanda seperti kekejangan, muntah berterusan, meragam lebih daripada biasa dan tidur terlalu lama, segera bawa mereka ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan segera.

Pencegahan: Terjatuh, bagi bayi dan kanak-kanak

  • Memasang pagar keselamatan pada tangga

  • Elakkan penggunaan walker (alat bertatih) yang beroda

  • Awasi anak anda apabila ia mula belajar satu pergerakan baru seperti merangkak, memanjat dan lain-lain

  • Bayi sepatutnya tidur di katil bayi atau pun di atas lantai. Ini adalah kerana bayi lebih cenderung berguling

  • Pada peringkat umur tertentu, kanak-kanak cenderung memanjat. Jadi jangan letakkan barang-barang yang boleh dipanjat berhampiran dengan tingkap. Awasi sepenuhnya aktiviti yang mereka lakukan.

  • Cepat bersihkan lantai jika tertumpah sesuatu

  • Simpan semua hamparan atau permaidani yang dilipat. Pastikan benda-benda itu tidak bersepah di atas lantai.

  • Simpan pisau dan segala objek tajam di tempat selamat, yang tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.

  • Jangan tinggalkan bayi bersendirian di katil, sofa atau meja menukar lampin. Jika hendak menjawab telefon atau membuat kerja lain, bawa bayi bersama.

  • Pastikan tangga tidak gelap dan tiada barang bertaburan dan ingatkan anak-anak kawasan tangga bukannya tempat bermain.

  • Gunakan pagar keselamatan di atas dan di bawah tangga untuk mengelakkan anak daripada turun naik tangga sesuka hati.

  • Jauhkan anak daripada bermain di beranda atau bumbung rumah.

  • Jauhkan perabot dari tingkap kerana anak boleh memanjat perabot yang berhampiran.

  • Jangan tinggalkan anak yang berumur satu hingga dua tahun di dalam bilik mandi bersendirian. Pastikan jubin bilik mandi daripada jenis yang tidak licin.

  • Alat bertatih (walker) berbahaya jika anak tidak diawasi. Alat ini tidak akan mempercepatkan anak mula berjalan.

  • Jika buai sarung digunakan, pastikan anak berumur kurang daripada 6 bulan, alaskan lantai di bawah buai dengan tilam atau bantal, jangan beli buai yang beroda dan anak-anak lain tidak bermain berhampiran dengan bayi di dalam buai.
  • Sunday, March 30, 2008

    Berapa Lama Untuk Saya Hamil?

    Memang sukar untuk meneka dengan tepat bilakah seseorang wanita itu akan hamil. Faktor-faktor seperti usia, kesihatan badan secara umum, kesihatan sistem peranakan dan kekerapan melakukan hubungan seks memberi pengaruh yang besar terhadap peluang untuk anda mengandung.

    Walaubagaimanapun, statistik umum dapat memberikan sedikit idea berapa lama wanita akan hamil dari tarikh ia mencuba untuk hamil. Umumnya, pasangan yang subur mempunyai 25% peluang untuk hamil setiap kitaran haid. 80% dari kebanyakkan pasangan akan hamil dalam masa satu tahun mencuba dan 10% lagi akan hamil pada tahun seterusnya.

    Cuma 10% wanita sahaja mengalami masalah untuk hamil selepas tahun ke 2 dan wanita inilah yang akan mengalami masalah ketidak-suburan. Tinggikan peluang anda untuk hamil dengan mengetahui masa subur dan dengan membiasakan diri dengan kitaran haid. Ia amat mudah sekiranya haid anda teratur.

    Sekiranya percubaan anda untuk hamil sudah melebihi tempoh dua tahun, berjumpalah dengan doktor untuk untuk mengetahui punca kesukaran anda untuk hamil.

    Hindar hamil tanpa rancang

    Menjurus kepada pengguguran haram yang mengancam nyawa

    DALAM kegelisahan dan kesukaran ramai pasangan menjalani pelbagai rawatan kesuburan bagi mendapatkan anak, ada ramai insan buntu fikiran bagaimana menangani kemelut hamil di luar ikatan perkahwinan dan kebuntuan ini mendorong mereka melakukan pengguguran haram yang boleh membahayakan nyawa.

    Lebih buruk, sesetengahnya terpaksa meneruskan kehamilan tetapi kemudian tergamak membuang anak baru lahir. Dalam laporan akhbar Julai lalu, di Lembah Klang saja secara purata 10 bayi dibuang setiap hari — kebanyakannya dilahir ibu remaja hasil hubungan terlarang.

    Dalam kajian Populasi dan Keluarga Malaysia pada 2004 mendapati, ramai remaja di negara ini tidak tahu mengenai organ reproduksi dan fungsinya. Walaupun hanya 2.4 peratus mengakui pernah melakukan hubungan seks, tetapi 20.7 peratus remaja mengakui tahu ada teman mereka mengadakan hubungan seks sebelum kahwin, 21.2 peratus tahu ada kawan mengandung anak luar nikah dan 10 peratus menggugurkan kandungan.

    Ini adalah senario menyedihkan yang berlaku akibat kehamilan tidak dirancang. Di seluruh dunia, hampir 210 juta kehamilan berlaku setiap tahun dan 38 peratus (79.8 juta) daripadanya tidak dirancang dan daripada jumlah ini 22 peratus (17.6 juta) berakhir dengan pengguguran.

    Apabila disebut pengguguran bayi, perlu diingat ia bukan hanya berlaku di kalangan wanita yang tidak bersuami, malah turut membabitkan wanita berkahwin, terutama apabila kehamilan tidak dialu-alukan atau kehendaki kedua-dua pihak.

    Jangan mulakan satu kehidupan lain jika tidak bersedia, kata Pengerusi Kesatuan Perancangan Keluarga Malaysia (FFPAM), Dr Kamaruzaman Ali. Sama ada menggugurkan kandungan atau membuang bayi, ia adalah jenayah yang sangat mengaibkan dan tidak berperi kemanusiaan.

    Banyak pendekatan boleh diambil bagi mengelak kehamilan tidak dirancang atau tidak dikehendaki dengan menggunakan kaedah perancangan keluarga, khususnya bagi pasangan muda.

    Soalnya, mengapa disasarkan kepada golongan muda? Berdasarkan statistik 2006, satu pertiga daripada 26 juta rakyat Malaysia adalah golongan muda berumur antara 10 hingga 24 tahun, dengan pecahan 2.7 juta (10 hingga 14 tahun), 2.9 juta (15 hingga 19 tahun) dan 2.4 juta (20 hingga 24 tahun).

    Ini bermakna dalam masa dua dekad (20 tahun) dari sekarang, negara kita bakal mempunyai populasi muda yang merangkumi hampir 47 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk. Melihat keadaan kini — remaja akil baligh lebih cepat, ramai mendapat pendidikan peringkat tinggi, lewat berkahwin, kekurangan maklumat dan pendidikan seks serta semakin ramai terdedah kepada hubungan seks sebelum kahwin — tiba masanya untuk memberi penekanan kepada golongan ini.

    “Walaupun kaedah perancangan keluarga diperkenalkan sejak berpuluh tahun dulu, masih ramai tidak tahu atau salah faham mengenainya. Kajian Perancangan Keluarga Kebangsaan pada 2004 mendapati, kira-kira 50 peratus saja pasangan berkahwin menggunakan kaedah perancangan keluarga bagi mengelak kehamilan tidak dirancang.

    “Sedihnya, penggunaan kaedah perancangan keluarga di Malaysia jauh lebih rendah berbanding negara lain di rantau Asean. Penduduk Malaysia kini tidak boleh lagi berselindung di sebalik nilai murni kehidupan kerana banyak bukti dan data menunjukkan bilangan individu dewasa yang aktif seks semakin meningkat. Ini kerana kehamilan tidak dirancang dan tidak dikehendaki semakin banyak berlaku di kalangan remaja,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada pelancaran Hari Pencegahan Kehamilan Sedunia pertama baru-baru ini, yang diadakan serentak di 50 negara di Eropah, Amerika Tengah dan Latin serta Rantau Asia Pasifik dengan tema ‘Jalani Kehidupan Anda Sebelum Memulakan Kehidupan Lain’.

    Antara isu yang diutarakan ialah perancangan keluarga, kehamilan tidak dirancang dan mendidik wanita serta lelaki supaya menjadi ibu bapa apabila bersedia daripada segi masa, kewangan dan pengetahuan.

    Di Malaysia, program ini disasar kepada pasangan suami isteri muda dengan sokongan FFPAM, Body Contours Wellness Spa dan Fitness First Malaysia. Pada masa sama, ia bertujuan meningkatkan pengetahuan pasangan muda kaedah perancangan keluarga yang ada dan pendidikan, terutama mengenai sistem reproduktif dan kesihatan seksual.

    Persoalannya, adakah kaedah perancangan keluarga ini perlu diperluaskan ke semua golongan yang aktif seks tanpa mengira sama ada berkahwin atau tidak? Menurut Dr Kamaruzaman, ini adalah isu yang hangat diperdebatkan dan dibincangkan berkali-kali kerana ada yang bimbang ia disalahgunakan.

    Benar, katanya, justeru golongan muda perlu diberi pendidikan seks, khususnya sistem reproduktif dan kesihatan seksual. Semua orang, tidak kira latar belakang mereka, sebenarnya berhak mendapat pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif supaya kaedah perancangan keluarga dapat dipraktikkan.

    Kajian menunjukkan pendekatan paling cepat untuk menyebarkan maklumat ialah melalui rakan sebaya kerana rakan mempunyai pengaruh besar dalam kehidupan seseorang, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel.

    Bagaimanapun, katanya, program ini bukan bertujuan menghalang kehamilan, sebaliknya mendidik supaya ia berlaku pada masa sesuai apabila pasangan bersedia dan bukan secara ‘tidak sengaja’, melarang penggunaan kondom (program ini menggalakkan penggunaan kondom bagi mengelak jangkitan penyakit kelamin, terutama HIV/Aids) dan tidak menggalakkan golongan muda mengamalkan seks sebelum kahwin atau sebarang perlakuan yang menyalahi budaya dan agama.

    “Yang ditekankan ialah golongan muda perlu tahu, ada banyak kaedah perancangan keluarga di negara kita dalam usaha mengelak pengguguran haram dan pembuangan bayi akibat kehamilan tidak dikehendaki. Malah, Islam menggalakkan perancangan keluarga. Contohnya saranan menyusukan anak sehingga berumur dua tahun yang secara tidak langsung boleh menjadi antara kaedah perancangan keluarga,” katanya.