Elak dekorasi bahayakan anak
Kecederaan di rumah yang membabitkan kanak-kanak ada kaitan dengan umur mereka
MENGIKUT kajian, kecederaan yang dialami kanak-kanak terutama berumur satu hingga dua tahun sering terjadi di rumah.
Sehubungan itu, ibu bapa perlu memastikan persekitaran rumah selamat dan memastikan dekorasi dan hiasan dalaman mengambil kira perkembangan anak-anak.
Bagaimanapun, kita sering mendengar ibu bapa tidak tahu mengendalikan anak-anak dan menghadapi sebarang kemungkinan apabila berlaku kemalangan seperti anak terjatuh.
Pakar Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata, kecederaan di rumah yang membabitkan kanak-kanak ada kaitannya dengan umur mereka.
Katanya, kebanyakan kejadian yang berlaku membabitkan kanak-kanak berusia dua tahun kerana ada kaitan dengan keupayaan dan kebolehan mereka merangkak, berjalan dan memanjat ke tempat berbahaya.
"Sifat untuk mengetahui sesuatu yang baru serta kecenderungan memasukkan benda ke dalam mulut menyebabkan mereka paling berisiko mendapat kecederaan atau terjatuh," katanya.
Dr Zulkifli berkata, dalam kebanyakan kes kecederaan atau terjatuh, ibu bapa tidak tahu bagaimana mengendalikan situasi apabila anak mereka terjatuh atau cedera.
Katanya, kekurangan pengetahuan mengenai bantuan kecemasan menyebabkan kebanyakan kes kecederaan membabitkan kanak-kanak lambat dirujuk kepada wad kecemasan sehingga menyebabkan kecacatan kekal dan lebih teruk tidak dapat diselamatkan.
Apakah yang ibu bapa boleh lakukan jika anak terjatuh? Tindakan pertama adalah mengesan tanda kecederaan dan luka yang dialaminya.
Bagi kes pendarahan ibu bapa dinasihatkan membawa segera ke klinik atau hospital terutama jika anda tidak tahu bagaimana menghentikan pendarahan itu.
Jika anak terjatuh, bilakah masa yang sesuai dibawa ke hospital atau klinik?
Kanak-kanak yang baru belajar bertatih sering kali terjatuh jika tiada kecederaan serius atau pendarahan tidak perlu di bawa ke hospital. Namun, jika anak anda menunjukkan tanda seperti kekejangan, muntah berterusan, meragam lebih daripada biasa dan tidur terlalu lama, segera bawa mereka ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan segera.
Pencegahan: Terjatuh, bagi bayi dan kanak-kanak
No comments:
Post a Comment