Menjurus kepada pengguguran haram yang mengancam nyawa
DALAM kegelisahan dan kesukaran ramai pasangan menjalani pelbagai rawatan kesuburan bagi mendapatkan anak, ada ramai insan buntu fikiran bagaimana menangani kemelut hamil di luar ikatan perkahwinan dan kebuntuan ini mendorong mereka melakukan pengguguran haram yang boleh membahayakan nyawa.
Lebih buruk, sesetengahnya terpaksa meneruskan kehamilan tetapi kemudian tergamak membuang anak baru lahir. Dalam laporan akhbar Julai lalu, di Lembah Klang saja secara purata 10 bayi dibuang setiap hari — kebanyakannya dilahir ibu remaja hasil hubungan terlarang.
Dalam kajian Populasi dan Keluarga Malaysia pada 2004 mendapati, ramai remaja di negara ini tidak tahu mengenai organ reproduksi dan fungsinya. Walaupun hanya 2.4 peratus mengakui pernah melakukan hubungan seks, tetapi 20.7 peratus remaja mengakui tahu ada teman mereka mengadakan hubungan seks sebelum kahwin, 21.2 peratus tahu ada kawan mengandung anak luar nikah dan 10 peratus menggugurkan kandungan.
DALAM kegelisahan dan kesukaran ramai pasangan menjalani pelbagai rawatan kesuburan bagi mendapatkan anak, ada ramai insan buntu fikiran bagaimana menangani kemelut hamil di luar ikatan perkahwinan dan kebuntuan ini mendorong mereka melakukan pengguguran haram yang boleh membahayakan nyawa.
Lebih buruk, sesetengahnya terpaksa meneruskan kehamilan tetapi kemudian tergamak membuang anak baru lahir. Dalam laporan akhbar Julai lalu, di Lembah Klang saja secara purata 10 bayi dibuang setiap hari — kebanyakannya dilahir ibu remaja hasil hubungan terlarang.
Dalam kajian Populasi dan Keluarga Malaysia pada 2004 mendapati, ramai remaja di negara ini tidak tahu mengenai organ reproduksi dan fungsinya. Walaupun hanya 2.4 peratus mengakui pernah melakukan hubungan seks, tetapi 20.7 peratus remaja mengakui tahu ada teman mereka mengadakan hubungan seks sebelum kahwin, 21.2 peratus tahu ada kawan mengandung anak luar nikah dan 10 peratus menggugurkan kandungan.
Ini adalah senario menyedihkan yang berlaku akibat kehamilan tidak dirancang. Di seluruh dunia, hampir 210 juta kehamilan berlaku setiap tahun dan 38 peratus (79.8 juta) daripadanya tidak dirancang dan daripada jumlah ini 22 peratus (17.6 juta) berakhir dengan pengguguran.
Jangan mulakan satu kehidupan lain jika tidak bersedia, kata Pengerusi Kesatuan Perancangan Keluarga Malaysia (FFPAM), Dr Kamaruzaman Ali. Sama ada menggugurkan kandungan atau membuang bayi, ia adalah jenayah yang sangat mengaibkan dan tidak berperi kemanusiaan.
Banyak pendekatan boleh diambil bagi mengelak kehamilan tidak dirancang atau tidak dikehendaki dengan menggunakan kaedah perancangan keluarga, khususnya bagi pasangan muda.
Soalnya, mengapa disasarkan kepada golongan muda? Berdasarkan statistik 2006, satu pertiga daripada 26 juta rakyat Malaysia adalah golongan muda berumur antara 10 hingga 24 tahun, dengan pecahan 2.7 juta (10 hingga 14 tahun), 2.9 juta (15 hingga 19 tahun) dan 2.4 juta (20 hingga 24 tahun).
Ini bermakna dalam masa dua dekad (20 tahun) dari sekarang, negara kita bakal mempunyai populasi muda yang merangkumi hampir 47 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk. Melihat keadaan kini — remaja akil baligh lebih cepat, ramai mendapat pendidikan peringkat tinggi, lewat berkahwin, kekurangan maklumat dan pendidikan seks serta semakin ramai terdedah kepada hubungan seks sebelum kahwin — tiba masanya untuk memberi penekanan kepada golongan ini.
“Walaupun kaedah perancangan keluarga diperkenalkan sejak berpuluh tahun dulu, masih ramai tidak tahu atau salah faham mengenainya. Kajian Perancangan Keluarga Kebangsaan pada 2004 mendapati, kira-kira 50 peratus saja pasangan berkahwin menggunakan kaedah perancangan keluarga bagi mengelak kehamilan tidak dirancang.
“Sedihnya, penggunaan kaedah perancangan keluarga di Malaysia jauh lebih rendah berbanding negara lain di rantau Asean. Penduduk Malaysia kini tidak boleh lagi berselindung di sebalik nilai murni kehidupan kerana banyak bukti dan data menunjukkan bilangan individu dewasa yang aktif seks semakin meningkat. Ini kerana kehamilan tidak dirancang dan tidak dikehendaki semakin banyak berlaku di kalangan remaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Hari Pencegahan Kehamilan Sedunia pertama baru-baru ini, yang diadakan serentak di 50 negara di Eropah, Amerika Tengah dan Latin serta Rantau Asia Pasifik dengan tema ‘Jalani Kehidupan Anda Sebelum Memulakan Kehidupan Lain’.
Antara isu yang diutarakan ialah perancangan keluarga, kehamilan tidak dirancang dan mendidik wanita serta lelaki supaya menjadi ibu bapa apabila bersedia daripada segi masa, kewangan dan pengetahuan.
Di Malaysia, program ini disasar kepada pasangan suami isteri muda dengan sokongan FFPAM, Body Contours Wellness Spa dan Fitness First Malaysia. Pada masa sama, ia bertujuan meningkatkan pengetahuan pasangan muda kaedah perancangan keluarga yang ada dan pendidikan, terutama mengenai sistem reproduktif dan kesihatan seksual.
Persoalannya, adakah kaedah perancangan keluarga ini perlu diperluaskan ke semua golongan yang aktif seks tanpa mengira sama ada berkahwin atau tidak? Menurut Dr Kamaruzaman, ini adalah isu yang hangat diperdebatkan dan dibincangkan berkali-kali kerana ada yang bimbang ia disalahgunakan.
Benar, katanya, justeru golongan muda perlu diberi pendidikan seks, khususnya sistem reproduktif dan kesihatan seksual. Semua orang, tidak kira latar belakang mereka, sebenarnya berhak mendapat pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif supaya kaedah perancangan keluarga dapat dipraktikkan.
Kajian menunjukkan pendekatan paling cepat untuk menyebarkan maklumat ialah melalui rakan sebaya kerana rakan mempunyai pengaruh besar dalam kehidupan seseorang, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel.
Bagaimanapun, katanya, program ini bukan bertujuan menghalang kehamilan, sebaliknya mendidik supaya ia berlaku pada masa sesuai apabila pasangan bersedia dan bukan secara ‘tidak sengaja’, melarang penggunaan kondom (program ini menggalakkan penggunaan kondom bagi mengelak jangkitan penyakit kelamin, terutama HIV/Aids) dan tidak menggalakkan golongan muda mengamalkan seks sebelum kahwin atau sebarang perlakuan yang menyalahi budaya dan agama.
“Yang ditekankan ialah golongan muda perlu tahu, ada banyak kaedah perancangan keluarga di negara kita dalam usaha mengelak pengguguran haram dan pembuangan bayi akibat kehamilan tidak dikehendaki. Malah, Islam menggalakkan perancangan keluarga. Contohnya saranan menyusukan anak sehingga berumur dua tahun yang secara tidak langsung boleh menjadi antara kaedah perancangan keluarga,” katanya.
No comments:
Post a Comment