Friday, March 28, 2008

Soaljawab Agama Tentang Kehamilan

1. Apakah amalan-amalan ketika seorang itu mengandung?
Anak dalam kandungan akan terkesan dengan perbuatan ibunya. Oleh itu, adalah baik jika si ibu banyak mengerjakan ibadat, membaca Al-Quran, dan mendoakan untuk anaknya itu, moga-moga dengan demikian, bayi yang lahir akan menjadi anak yang soleh.

2. Adakah benar bahawa seorang wanita yang hamil harus membawa bersamanya barangan yang tajam untuk menangkis roh-roh atau makhluk halus yang jahat?
Kepercayaan bahawa membawa bersama barangan yang tajam untuk menangkis makhluk halus yang jahat tiada asas langsung di dalam Islam. Maka, orang Islam dilarang mempercayainya kerana ia adalah khurafat. Secara logic, jika makhluk halus boleh memasuki badan manusia, maka mereka bukanlah bersifat fizikal, dan ini menunjukkan kita bahawa tiada barang tajam yang boleh mencederakan mereka.

3. Apakah cara-cara yang dibenarkan bagi sepasang suami isteri untuk mengelakkan kehamilan?
Terdapat dua jenis kontraseptif atau kaedah mencegah kehamilan: yang kekal dan yang sementara.

Kontraseptif yang bersifat berkekalan tidak dibenarkan dalam Islam kerana ia mengubah badan seseorang itu. Contoh adalah seperti kaedah ligation dan kaedah memotong vas deferens (tiub di dalam badan lelaki yang menyalurkan sperma).

Manakala kontraseptif yang bersifat sementara dibenarkan dalam Islam kerana ia adalah salah satu cara mengurus keluarga. Contoh adalah seperti kondom, ubat atau pil pencegah hamil, suntikan dan IUD.

4. Bolehkah sepasang suami isteri menggunakan pil-pil pencegah hamil atau kontraseptif?
Ia dibenarkan kerana ia bukan bersifat kekal, iaitu ia boleh diterbalikkan dan wanita tersebut boleh hamil apabila ia dihentikan.

5. Apakah pandangan Islam terhadap kaedah mencetuskan pelahiran yang biasa (induce normal labour)?
Allah s.w.t telah berfirman di Surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

Di dalam sebuah Hadith dari ‘Aisyah r.a., isteri Rasulullah s.a.w, beliau telah mengatakan bahawa Rasulullah, antara dua pilihan, akan memilih pilihan yang lebih mudah, selagi mana ia tidak bercanggah dengan perintah Allah s.w.t.

Oleh yang demikian, boleh dikatakan disini bahawa kaedah mencetuskan pelahiran yang biasa (induce normal labour) dibenarkan selagi mana ia tidak membawa bahaya kepada ibu dan bayi.

6. Apakah cara-cara yang dibolehkan Islam untuk mendapatkan zuriat?
Anak adalah anugerah dari Allah s.w.t yang Allah berikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Ada kalanya Allah telah menetukan bahawa belum masanya untuk seseorang itu ada anak, atau tidak boleh ada anak lansung. Sebagai orang mukmin, kita wajib percaya pada qadha dan qadar. Allah menentukan demikian kerana Allah lebih mengetahui keadaan pasangan tersebut dari diri pasangan itu sendiri. Allah mengetahui apa yang akan berlaku kelak. Dan Allah tidak menzalimi hambaNya. Jika Allah tentukan bahawa sepasang suami isteri tidak boleh ada anak lansung, maka wajib percaya bahawa itu adalah yang terbaik untuk pasangan tersebut.

Jika mereka sabar, maka ganjaran yang akan diterima kelak tidak akan terkira.

Cara yang halal untuk mendapatkan anak hanyalah dengan percantuman benih suami dan isteri, dan mengandungnya isteri tersebut dengan hasil cantuman itu. Mengambil air mani lelaki lain, atau telur wanita lain, atau menyewa rahim wanita lain, adalah haram, kerana ia dianggap sebagai zina.

7. Adakah kaedah assisted reproduction dibenarkan jika sepasang suami isteri mempunyai masalah untuk mendapatkan zuriat?
Kaedah assisted reproduction dibenarkan dalam Islam selagi mana sperma datang dari suami dan telur datang dari isteri. Selepas persenyawaan dilakukan, ia harus diletak di dalam kandungan isteri dan bukan dalam kandungan wanita lain.

8. Adakah menggunakan ibu tumpang (surrogate mother) dibenarkan dalam Islam?
Penggunaan ibu tumpang atau surrogate mother tidak dibenarkan dalam Islam. Ini adalah kerana embrio yang disepernyawa dari sepasang suami isteri akan membesar dengan zat-zat wanita lain. Adapun kesan-kesan psikologi yang negatif terhadap ibu tumpang tersebut. Kaedah ini juga dianggap sebagai salah satu jenis zina kerana meletakkan sperma seorang lelaki ajnabi, walaupun ia sudah bersatu dengan telur isterinya, diletakkan ke dalam seorang wanita selain dari isterinya sendiri.

Kaedah ini juga boleh mencetuskan fenomena negatif yang mana kaum wanita yang berkemampuan akan membayar wanita lain untuk mengandungi embrionya yang disepernyawa, dan ia juga akan membawa kepada kebingungan dan tuntutan mahkamah tentang siapakah ibu sebenar bayi yang dilahirkan.

Seorang wanita yang tidak berkemampuan untuk mengandungi kehamilan sehingga penggal yang penuh kerana sebab-sebab tertentu seperti kandungan yang lemah atau sebagainya, harus memohon bantuan dari Allah s.w.t, Dialah Pencipta segalanya dan tiada yang mustahil bagiNya. Oleh kerana itu, kita harus sentiasa memohon pertolongan dariNya dan juga sentiasa berusaha unutk mendapatkan sesuatu. Pada masa yang sama, sebagai orang Islam, adalah wajib untuk meredhai segala qadha’ dan qadar Allah s.w.t.

9. Bolehkah pasangan suami isteri menggunakan sperma lelaki lain dengan sebab susah untuk mendapat zuriat?
Apabila Allah s.w.t telah menentukan bahawa ada pasangan tidak dapat zuriat, maka pasangan itu wajib percaya bahawa itu adalah lebih baik baginya dunia dan akhirat. Kerana Allah s.w.t lebih mengetahui apa yang akan berlaku jika pasangan itu ada zuriat kelak. Dan Allah s.w.t tidak mahu kezaliman berlaku atas pasangan tersebut. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Baqarah: Mudah-mudahan apa yang kamu tidak suka adalah baik untuk kamu, dan mudah-mudahan apa yang kamu suka adalah tidak baik untuk kamu. Dan Allah lebih mengetahui sedangkan kamu tidak tahu.

Mengambil sperma lelaki lain adalah haram. Ia adalah sama seperti zina kerana zuriat yang terhasil adalah dari benih lelaki lain dan bukan benih suaminya sendiri.

10. Bolehkah pasangan yang berkesusahan mendapat zuriat menjalani ujian SO-IUI atau IVF?
IVF atau apa sahaja teknik yang memudahkan kehamilan adalah diharuskan dalam Islam selagi mana ia dijalankan diantara suami dan isteri, dan zuriat datang dari keduanya dan dikandung oleh isteri. Ini adalah kerana ia bukan dianggap sebagai zina dan menukar penciptaan Allah, atau menukar qadha' dan qadar Allah.

11. Apakah hukum menggugurkan anak?
Menggugurkan kandungan adalah haram dalam Islam. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Isra': Dan janganlah kamu membunuh anak kamu.

Pengguguran dianggap sebagai membunuh anak dalam kandungan walaupun anak tersebut baru beberapa minggu. Anak adalah amanah dan rezeki dari Allah. Setiap anak yang lahir di Bumi ini, Allah s.w.t sudah menjamin rezekinya. Maka menjadi tanggng-jawab si ibu dan bapa untuk membesarkan anak tersebut mengikut lunas-lunas Islam.

Pengguguran hanya dibolehkan sekiranya telah disahkan oleh doktor bahawa kandungan tersebut membahayakan nyawa si ibu. Maka ketika itu, nyawa si ibu adalah lebih berharga dari nyawa si anak.

12. Apa hukumnya sekiranya seorang ibu terpaksa menggugurkan kandungannya kerana keadaan yang tidak mengizinkan?
Menggugurkan anak dilarang dalam Islam, kecuali jika para doktor mengesahkan bahawa jika si ibu itu meneruskan kehamilan ia akan membahayakan nyawa si ibu.

Anak adalah anugerah dari Allah s.w.t. Ia adalah ciptaan Allah s.w.t dan Dia telah menjamin rezekinya. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Isra', ayat 31:

"Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu karena takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar."

Pasangan ibu bapa yang merasakan bahawa kehadiran anak itu akan menggugat ekonomi atau keselesaan kehidupan mereka perlu sedar bahawa kekayaan dan keselesaan adalah dari Allah s.w.t, bukan atas andaian manusia. Oleh itu, berbanyaklah berdoa kepada Allah s.w.t agar kehadiran anak itu akan membawa sinar gembira dan bahagia bagi keluarga. Yakinlah, bahawa semuanya adalah anugerah dari Allah s.w.t

13. Apabila kedatangan haid lewat dan bimbang akan mengandung lalu makan makanan yang tajam seperti nenas/kacang parang, adakah ia seperti menggugurkan kandungan?
Menggugurkan kandungan setelah mengetahui bahawa seseorang itu hamil, adalah haram dalam Islam. Melakukan pembersihan rahim untuk mengelakkan dari mengandung, tetapi sebelum mengetahui bahawa ia mengandung, adalah dibolehkan dalam Islam. Hanya apabila seseorang wanita itu mengetahui bahawa ia mengandung, barulah haram untuknya menggugurkan anak, kecuali jika nyawanya terancam dengan kandungan tersebut.

Tiada ada bukti saintifik bahawa makanan yang 'tajam' seperti nenas dapat menggugurkan kandungan. Apa yang dirasakan tajam adalah tajam di lidah kerana kandungan asidnya yang tinggi. Tetapi apabila masuk ke perut, ia akan hancur kerana asid dalam perut adalah lebih tajam.

14. Haruskah janin yang sudah meninggal diberikan nama?
Tidak perlu memberi nama kepada janin. Tiada hukum di dalam Islam yang mengatakan janin harus diberikan nama sebelum ia ditanam.

Sumber:
Majlis Ugama Islam Singapura
http://www.muis.gov.sg

No comments: