Awasi anak...terkena kejutan elektrik
Akibatnya anak-anak terkena kejutan atau renjatan elektrik sehingga meragut nyawa.
Beberapa kes yang melibatkan kejutan elektrik pernah dirujuk kepada Jabatan Perubatan Kecemasan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Hal ini diakui oleh Pakar Perunding Perubatan Kecemasan & Ketua Jabatan, Prof. Madya Dr. Azhar Abdul Aziz.
Menurut Dr. Azhar, dalam sesetengah kes kejutan elektrik yang menyebabkan kecederaan sehingga meragut nyawa, kanak-kanak dibiarkan memperbaiki barangan elektrik tanpa kawalan.
Mungkin di peringkat awal kerana suka-suka atau menunjuk diri kreatif malangnya elektrik bukannya bahan percubaan kemahiran.
"Voltan yang tinggi boleh menyebabkan renjatan terhadap ritma atau denyutan elektrik di dalam jantung manusia.
"Pertembungan dengan arus elektrik menyebabkannya terganggu dan berlaku kecederaan,'' jelasnya.
Selain perasaan ingin mencuba, kanak-kanak di bawah tujuh tahun dikenal pasti antara golongan yang suka bermain dengan suiz elektrik.
Kumpulan ini masih belum boleh membezakan antara kesan baik dan buruk.
"Lazimnya, mereka mencucuh palam elektrik dengan bahan-bahan pengalir elektrik yang baik seperti besi menyebabkan berlaku renjatan elektrik.
"Situasi ini selalunya terjadi di kalangan kanak-kanak yang lasak dan sukakan cabaran,''dedahnya.
Beliau turut menegaskan, peralatan elektrik yang kurang diselenggarakan dengan baik juga punca berlakunya renjatan elektrik.
"Terdapat barangan elektrik rosak dan mengalirkan arus elektrik tanpa diketahui. Mungkin kabel atau wayar tertentu digigit tikus.
"Ini menyebabkan mangsa terkena kejutan elektrik jika menyentuh atau memegang barangan tersebut,'' ujarnya.
Dr. Azhar menambah, dalam menangani kes renjatan elektrik, sebaiknya mintalah pertolongan dengan segera jika merasakan tidak upaya melakukan secara sendirian.
Selepas rawatan, mangsa hendaklah dikejarkan segera ke hospital. Sebaik-baiknya terus dapatkan rawatan ke Jabatan Kecemasan Hospital daripada membawanya ke klinik.
Beberapa kes yang dirujuk lambat ke Jabatan Kecemasan menyebabkan ada antara mangsa yang masih boleh diselamatkan menemui maut.
"Sememangnya ajal dan maut di tangan Tuhan, tetapi kecekapan kita boleh menyelamatkan mangsa,'' katanya.
Dr. Azhar berkata, dalam hal ini, jika ada pilihan lebih baik mangsa dikejarkan terus ke Jabatan Kecemasan.
"Insya-Allah mangsa boleh diselamatkan kerana peralatan bantuan rawatan di jabatan tersebut lebih lengkap,'' nasihatnya.
Orang ramai yang ingin membantu mangsa yang terkena renjatan elektrik diingatkan supaya mengikut prosedur yang betul.
Dikhuatiri seandainya membantu dalam keadaan tergopoh-gapah akan menyebabkan renjatan elektrik mengalir ke tubuh mereka yang ingin menolong pula.
- Langkah pertama, tenangkan diri dan jangan panik. Pastikan diri dalam keadaan terkawal dan rasional.
- Dalam keadaan pantas, kaji atau analisis dahulu keadaan mangsa. Jika mahu memegang mangsa, pastikan tangan atau tubuh kering. Tutup atau matikan punca elektrik terlebih dahulu supaya tidak berlaku pengaliran elektrik secara terbuka.
- Jika tubuh mangsa menggeletar dan berlaku kekejangan, itu tandanya arus elektrik masih mengalir dalam badan. Jangan pegang mangsa secara terus tetapi gunakan penebat elektrik seperti plastik atau kayu.
- Selepas melepaskan tubuh mangsa dengan punca elektrik, periksa tahap kesedaran mangsa. Jika mangsa masih sedar, lakukan rawatan Airway Breathing Circulation atau ABC. Caranya dengan mengesan atau memeriksa rongga yang terbuka dan keluarkan apa-apa makanan atau barang yang mengganggu pernafasan.
- Jika bertauliah, lakukan rawatan bantuan pernafasan segera, Cardio Pulmunory Resusucitation atau CPR.
No comments:
Post a Comment