Awasi anak ketika usia remaja
PETALING JAYA 18 Jun - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta ibu bapa memberi perhatian terhadap anak-anak mereka terutama dalam usia remaja berikutan persekitaran sosial yang semakin mencabar sekarang.
Perdana Menteri berkata, mereka jangan memandang mudah akan tanggungjawab masing-masing dengan memastikan generasi muda terbabit tidak terjebak dalam masalah seperti gengsterisme mahu pun penagihan dadah.
``Janganlah hendaknya ibu bapa terus bergantung kepada pihak sekolah untuk mendidik anak-anak mereka malah mereka mempunyai tanggungjawab yang lebih meluas.
``Ini kerana dalam usia remaja, mereka hendak melakukan macam-macam perkara terutama dalam menjalinkan persahabatan dengan rakan-rakan sebaya,'' ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Karnival Keluarga Bahagia Penyayang 2004 di Teman Tema Sunway Lagoon Resort, di sini malam ini.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang, Leela Mohd. Ali, Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah dan Pengerusi Astro, Datuk Badri Masri.
Pelancaran karnival itu diadakan dalam suasana yang begitu meriah dengan diadakan pertunjukan bunga api di taman tema berkenaan.
Justeru, Abdullah mengingatkan ibu bapa jangan terlalu ghairah untuk mengejar kejayaan peribadi hingga melupakan soal keluarga.
Katanya, jika terjadi apa juga masalah berlaku dalam keluarga hingga menimbulkan kesedihan di kalangan ibu bapa terbabit, mereka harus dipersalahkan.
``Kita mesti jadikan suasana keluarga kita ibarat sebuah syurga dunia dan dengan sentiasa menimbulkan rasa gembira,'' jelasnya.
Dengan adanya rasa kegembiraan itu, Perdana Menteri percaya ia boleh membawa suasana yang ceria dan gembira kepada mereka hingga ke pejabat.
Menurut Abdullah, pemikiran mereka tidak harus terganggu yang boleh menyebabkan prestasi mereka terhadap tanggungjawab yang diamanahkan itu akan menurun.
Pada masa yang sama, katanya, kerajaan memang memberi perhatian kepada pembangunan keluarga dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk aspek rawatan dan kesihatan.
``Badan bukan kerajaan turut memainkan peranan penting dalam usaha mewujudkan keluarga bahagia dengan menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan pembangunan keluarga,'' jelasnya.
Perdana Menteri yakin dengan komitmen itu membolehkan mereka menjayakan kempen kerajaan untuk melahirkan keluarga penyayang.
No comments:
Post a Comment