Dua beradik bersatu urus perniagaan dari rumah
EZURIA MOHD HASHIM (kanan) dan adiknya Zurina.
BEKERJA dari rumah mungkin sesuatu yang masih dianggap asing bagi sesetengah wanita di Malaysia, tetapi tidak bagi wanita yang telah pun memulakannya selepas berhenti kerja. Ada wanita di negara ini menumpukan perhatian kepada keluarga dan pada masa sama meneruskan kerjaya.
Berkongsi pengalaman dengan pasangan adik-beradik Ezuria Mohd Hashim, 45, dan adiknya Zurina, 44, mengenai operasi perniagaan dari rumah membuktikan ia sesuatu yang menyeronokkan dan positif.
Ezuria, ibu kepada empat anak berusia 7 hingga 18 tahun, misalnya, menjalankan urus niaga dari rumahnya di Seksyen 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Sekali pandang rumah teres dua tingkat yang telah didiami selama hampir 10 tahun itu tidak ada banyak bezanya dengan rumah-rumah lain di sekitarnya. Tumbuhan hijau segar di halaman rumah diserikan susun atur perabot yang cukup cantik dan selesa.
Apa yang membezakan kediaman milik Ezuria dengan kediaman lain ialah selain menjadi tempat berteduh, di situlah juga anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan ini mengembangkan perniagaannya.
Syarikatnya, JSDC, menjalankan latihan dan bengkel pembangunan diri untuk wanita, golongan korporat dan graduan sejak lebih lima tahun lalu.
Impian Ezuria untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ibu sempurna dan pada masa yang sama memiliki kerjaya menarik kini boleh dicapai melalui teknologi maklumat dan komunikasi yang canggih.
Konsep pejabat dalam rumah (home office) membolehkan beliau menjalankan fungsi sebagai ibu dan suri rumah berkerjaya yang menjalankan urusan pekerjaan di rumah sendiri menggunakan ICT.
Lebih menarik, Ezuria dan adiknya Zurina tidak memerlukan sebuah bilik untuk dijadikan pejabat, sebaliknya dengan idea bijak pasangan adik-beradik ini hanya menjadikan satu sudut di tepi ruang makan sebagai pejabat.
Sebuah meja kecil sudah cukup memuatkan sebuah mesin empat dalam satu yang berfungsi sebagai faksimile, pencetak, pengimbas dan telefon. Masing-masing juga memiliki komputer riba milik peribadi yang dilengkapi kemudahan internet bagi memperoleh pebagai maklumat terkini.
Konsep pejabat dalam rumah seperti yang dilakukan Ezuria dan Zurina bukan lagi konsep baru apabila kebanyakan wanita di negara maju di seluruh dunia mengamalkannya.
“Saya benar-benar bersyukur kerana akhirnya kami dua beradik dapat bergabung tenaga untuk sama-sama menjalankan perniagaan dari rumah. Itulah hasrat yang telah sekian lama kami pendamkan. Jika kami boleh melakukan, mengapa wanita lain tidak boleh?’’ ujar Ezuria yang bertindak sebagai Pengarah Eksekutif JSDC.
Ezuria yang mengambil keputusan berhenti kerja tujuh tahun lebih awal daripada Zurina tidak menafikan kebanyakan wanita mengambil keputusan bekerja dari rumah kerana isu keluarga.
Beliau yang berpengalaman selama 19 tahun dalam bidang khidmat nasihat menjalankan perniagaan dari rumah kerana mahu mewujudkan keseimbangan antara keluarga dan kerjaya.
‘’Saya tidak mahu menjadi seperti kata pepatah, yang dikendung berciciran, yang dikejar tidak dapat. Jadi saya perlu memikirkan semasak-masaknya sebelum mengambil keputusan,’’ ujarnya yang turut menyenaraikan keyakinan, kebijaksanaan dan sokongan keluarga antara faktor penentu kejayaan seseorang yang memilih untuk bekerja dari rumah.
Keputusan yang diambil itu juga perlu melihat daripada pelbagai sudut termasuk aspek kewangan, ketahanan mental dan fizikal.
Turut diambil kira ialah isu penjagaan anak, keupayaan diri dan isu peribadi yang menjurus kepada pengorbanan dalam setiap perkara yang dilakukan.
‘’Ia berbeza sewaktu kita menjadi pekerja. Apabila bekerja sendiri, kita bukan sahaja pekerja, tetapi juga majikan dan ketua yang mempunyai peranan besar. Cuma pelaksanaan tugas sedikit berbeza dan memerlukan kreativiti dan ketahanan diri,’’ ujar Ezuria yang amat bertuah kerana mendapat sokongan keluarga terutama suami dan anak-anak.
Kata Ezuria, ‘’Sebagai ibu, tiada yang lebih bermakna apabila melihat sendiri anak-anak membesar di hadapan mata. Segala keperluan makan minum serta pakaian mereka terjaga, begitu juga curahan kasih sayang dengan harapan kehidupan yang dilalui berjalan dengan sempurna.’’
Namun, kata Ezuria, apa yang dilakukannya itu tidak akan berlaku jika beliau tidak berani membuat keputusan sebagaimana yang dilakukan dahulu.
Beliau sendiri mengakui pengalaman dalam bidang pekerjaan yang banyak berkaitan dengan pengurusan dan pembangunan sumber manusia banyak mendorongnya menubuhkan JSDC yang memberi fokus kepada kepada latihan dan pembangunan.
Kekuatan yang ada pada JSDC semakin kukuh apabila Zurina mengambil keputusan mengikut jejak Ezuria untuk berhenti kerja dan bergabung tenaga membangunkan JSDC.
Pengalaman Zurina dalam bidang pemasaran selama lebih 10 tahun memberi kelebihan kepada syarikat tersebut untuk berkembang maju.
Bagi ibu kepada lima anak berusia empat hingga 18 tahun itu, beliau tidak fikir boleh melakukan semua itu jika semata-mata mahu mengikut orang lain. Katanya, setiap orang berbeza dari segi kemampuan dan kebolehan masing-masing.
‘’Oleh itu sebelum sebarang keputusan dibuat, saya terlebih dahulu mengkaji pelbagai aspek termasuk kemampuan diri sendiri, bidang pilihan serta sokongan keluarga.
‘’Alhamdulilah, Ezuria sendiri telah membuktikan apa yang dilakukan itu betul. Kesungguhan dan kerja kuatnya itu banyak memberi saya keyakinan serta kekuatan,’’ ujarnya yang mengambil keputusan meninggalkan pekerjaan terakhirnya sebagai pengurus jenama di sebuah stesen televisyen terkemuka di negara ini pada Ogos lalu.
Beliau yang sentiasa meletakkan keyakinan serta kerja keras sebagai kunci kejayaan amat berharap apa yang dilakukan mereka menjadi contoh kepada wanita lain.
Peka kepada keperluan semasa, syarikat JSDC milik Ezuria dan Zurina tidak hanya mengehadkan kepada golongan wanita, individu mahupun golongan koporat, tetapi juga menyasarkan perkhidmatan JSDC kepada para pelajar sekolah rendah dan menengah serta pelajar universiti yang bakal menghadapi dunia pekerjaan.
Memberi contoh kesukaran graduan mendapat tempat dalam sektor pekerjaan swasta mahupun kerajaan, kata Ezuria, banyak faktor yang mempengaruhi kemampuan graduan mendapat kerja. Antaranya kelemahan sahsiah dan sikap seseorang itu.
Menurutnya, pada hari ini kebanyakan pelajar di universiti berlumba-lumba mendapatkan sekeping sijil, sedangkan mereka terlupa sumber tenaga yang berkualiti, mampu mencipta sesuatu yang baru dan keupayaan bersaing juga adalah antara faktor penting yang diambil kira bagi memenuhi tenaga kerja.
‘’Seharusnya mereka bukan sahaja bijak dalam akademik, pada masa sama mampu menjadi seorang pekerja yang dedikasi, boleh berdikari dan sentiasa segar dengan idea-idea baru.
‘’Inilah yang cuba diberikan JSDC kepada graduan-graduan ini dalam setiap bengkel atau program yang diadakan,’’ tambah Ezuria lagi.
Selain menyampaikan ceramah motivasi, Ezuria dan Zurina turut menjadi penulis undangan dalam akhbar-akhbar tempatan yang banyak menekankan pembangunan diri dan pemilihan kerjaya.
Untuk mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan khidmat nasihat JSDC, sila hubungi talian 019-2373081 atau 012-3071155.
Konsep bekerja dari rumah
* Bekerja dari rumah atau small office home office (Soho) semakin mendapat perhatian di seluruh dunia berikutan perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), terutama internet.
* Satu kajian yang dijalankan oleh kerajaan Australia Barat mendapati konsep Soho semakin berkembang. Ada 25 juta pekerja Soho di Amerika Syarikat, Kanada (2.5 juta), United Kingdom (2.2 juta), Australia (778,000) dan New Zealand (200,000).
* Peningkatan itu berlaku berikutan beberapa kelebihan Soho. Paling ketara ialah cara bekerja Soho membolehkan individu bekerja secara anjal dan selesa di rumah sendiri. Kehidupan mereka juga tidak terikat dengan peraturan pejabat.
* Kaedah itu turut membolehkan seseorang membuka perniagaan sendiri di rumah di samping mengurangkan belanja membuka perniagaan di kawasan komersial.
* Antara ruang lingkup pekerjaan yang biasa diterokai menerusi Soho ialah penulisan, reka bentuk dan bidang media.
* Teknologi canggih yang wujud sekarang memudahkan Soho diterokai. Anda hanya perlukan komputer, peralatan pejabat yang minimum dan sambungan Internet.
* Kemunculan konsep Soho bukan sahaja menjamin penerusan produktiviti wanita, malah ia memberi peluang kepada mereka menumpukan lebih perhatian terhadap anak-anak dan urusan rumah tangga.
* Bagi sesetengah individu pula, Soho memberikan pendapatan tambahan kepada isi rumah mereka. Jauh lebih baik, golongan kurang upaya dan warga emas juga boleh mendapat manfaat dan memperoleh beberapa kebaikan jika berkecimpung dalam dunia perniagaan Soho.
* Soho dapat membantu kerajaan mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dihadapi di bandar-bandar utama di negara ini kerana bilangan pengguna kenderaan yang memandu ke tempat kerja berkurangan. Soho memberikan kesan positif terhadap mutu udara.
* Konsep Soho belum diamalkan secara meluas di Malaysia. Jumlah pekerja yang menjalankan tugas melalui teleworking di negara ini hanya sekitar 0.16 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja.

Sumber:
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment