Awasi anak-anak anda
TRAGEDI menyayat hati yang menimpa kanak-kanak malang Nurin Jazlin Jazimin, 8, sekali lagi meletakkan pedofilia sebagai tumpuan utama setelah pemergian ke hadrat Ilahi adik Nurul Huda Ghani, 10, awal tahun 2004 kerana dirogol dan diliwat.
Sepuluh hari sebelumnya, mangsa rogol Harirawati Saridi, juga berusia 10 tahun ditemui mati dibunuh dengan kainnya tersingkap, di kawasan semak semasa dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah.
Di sebalik perhatian meluas yang diberikan sejak itu, masih ramai yang tidak memahami tentang apa sebenarnya penyakit mental ini.
Salah tanggapan paling biasa yang bermain di fikiran sesetengah orang ialah, pedofilia dan homoseksual merupakan perkara tunggal. Menyamakan di antara kedua-duanya samalah seperti membuat perbandingan sebiji epal dengan sebotol racun tikus.
Pedofil memang tidak mempamerkan tanda `PEDOFIL’ yang tertulis pada dahi atau belakang mereka. Namun, ada langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegah insiden buruk ke atas cahaya mata anda.
Dipetik dari Encyclopedia of Mental Disorder, pedofilia dirujuk sebagai gangguan psikoseksual di mana fantasi atau penglibatan sebenar dalam aktiviti seksual dengan kanak-kanak menjadi cara untuk mencapai kemuncak keseronokan.
Fokus pedofilia adalah hubungan seksual dengan kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun. Bagaimanapun, kebanyakan profesional kesihatan membataskan definisi pedofilia kepada kegiatan seksual dengan kanak-kanak praakil baligh berusia 13 tahun ke bawah.
Ia sama ada diarahkan kepada kanak-kanak daripada jantina yang sama ataupun berlainan. Sesetengah pedofil tertarik kepada kedua-dua lelaki dan perempuan. Sesetengahnya pula tertarik hanya kepada kanak-kanak manakala sebahagiannya lagi kepada kedua-dua kanak-kanak dan orang dewasa.
Apabila ini terjadi, ia lazimnya berpunca daripada rasa tidak terjamin (selamat) atau stres dalam perhubungan sesama orang dewasa, kata pakar psikologi, Anthony Siracusa, yang khusus merawat kanak-kanak yang didera dan pesalah seksual.
Pedofil kategori ini dikenali sebagai pesalah regresi (merosot kembali) kerana kehilangan kemahiran sosial yang diperlukan untuk berurusan dengan orang dewasa lain lalu menjadikan kanak-kanak sebagai satu daya tarikan besar kepada mereka.
Pesalah regresi boleh melantun ke hadapan dan belakang di antara hubungan seksual yang normal dan kaitan jenayah dengan kanak-kanak.
Lazimnya, pedofil mempunyai masalah untuk berhubung dengan individu sebaya. Mereka perlu berasa ada kuasa dan kawalan ke atas satu-satu hubungan yang lebih mudah - dengan kanak-kanak.
Seorang pedofil yang menggelar dirinya sebagai PwC menulis begini dalam sebuah laman web yang berpangkalan di barat:
“Saya berusia 21 tahun, masih teruna. Saya merupakan seorang penganggur. Adalah mustahil bagi saya untuk berjumpa dengan gadis idaman dan saya terdesak kerana saya perlukan cinta. Saya tidak pernah mencabul budak perempuan walaupun ada ketikanya keinginan itu ada. Saya mahu mendukung kanak-kanak perempuan di atas tangan ini dan memberitahunya bahawa saya cintakannya dan bahawa saya akan menjaga dan melindunginya dengan baik.’’
Punca
Pelbagai teori diutarakan. Ada saintis yang menuding jari ke arah biologi di mana testosteron iaitu salah satu daripada hormon lelaki, mendedahkan lelaki kepada tingkah laku seksual yang menyimpang.
Namun, banyak pengkaji yang bersetuju bahawa pedofilia terbit daripada faktor psikososial berbanding ciri-ciri biologi dan genetik.
Ahli keluarga lawan orang asing
Kanak-kanak yang mengalami penderaan seksual terluka dalam cara yang berbeza, bergantung sama ada pendera adalah orang yang disayangi dalam hidupnya seperti ibu bapa ataupun orang asing.
Dalam kes yang melibatkan ahli keluarga sendiri, kanak-kanak terbabit akan mengalami kekeliruan yang amat sangat. Mereka akan berasa begitu bersalah kerana melaporkan penderaan tersebut, yang tidak ditemui jika membabitkan pesalah luar.
Apabila penderaan berlaku di dalam keluarga, kanak-kanak itu akan dibesarkan dengan kebiasaan itu dan akan menerimanya sebagai satu norma hidup setelah meningkat dewasa.
Ia menjadi satu perkara yang cuba diseimbangkan dalam keluarga. Kanak-kanak berusaha untuk membantu kelancaran hubungan kekeluargaan.
sebaik sahaja kanak-kanak itu menyedari bahawa hubungan seksual yang dia ada sebenarnya satu kesalahan dan mula membocorkan rahsia itu kepada orang lain, keseimbangan tadi mulai terganggu.
Selalunya, keluarga berasa dimangsai dengan pendedahan kanak-kanak, mengakibatkan kanak-kanak itu menarik balik kata- katanya. Ini akan mendatangkan masalah yang lebih besar kepada individu terbabit.
Tanda-tanda
Dalam jangka panjang, sejarah penderaan seksual semasa zaman kanak-kanak boleh mencetuskan apa jua masalah mental. Antaranya kemurungan, penyalahgunaan alkohol dan dadah serta gangguan keresahan.
Sesetengah, bukan semua kanak-kanak yang didera, berakhir sebagai seorang pedofil. Tanda-tanda awal kanak-kanak yang didera adalah gangguan tidur dan pemakanan.
Mereka kemudiannya berbalik kepada tabiat menghisap jari dan kencing malam (sewaktu tidur). Perangai mereka juga boleh berubah menjadi agresif atau suka menyendiri.
Bagaimanapun, mempercayai senarai ini bulat-bulat boleh memperdayakan anda kerana ia juga boleh disebabkan oleh perkara-perkara lain.
Berdasarkan Persatuan Psikologi Amerika, terdapat gejala-gejala yang lebih jelas: Kanak-kanak mangsa penderaan mungkin tahu mengenai seks lebih banyak daripada apa yang telah diajar atau mereka mungkin mempunyai minat terhadap seks yang tidak bersesuaian dengan umur mereka. Antaranya, menunjukkan tingkah laku berbaur seksual dengan kanak-kanak lain.
Jika kanak-kanak memberitahu bahawa mereka mengalami penderaan seksual walaupun mungkin tidak secara lisan, itu merupakan tanda yang paling jelas. Kanak-kanak jarang menipu mengenainya.
Rawatan
Pakar-pakar sependapat bahawa pedofil bukanlah sesuatu yang normal tetapi penyakit yang nyata. Malangnya, ia tiada penawarnya.
Terapi bergabung dengan ubat-ubatan seperti SSRIs (selective serotonin reuptake inhibitors), termasuk Prozac dan Paxil, berkesan untuk kebanyakan pesakit dengan lain-lain gangguan mental tetapi tidak berhasil untuk pedofil.
‘Doktor’ terbaik yang boleh diharapkan adalah dengan cara membantu mereka daripada bertindak terhadap desakan.
Pencegahan
Kebanyakan kanak-kanak mengenali pencabul mereka, jadi ingatan ‘jangan ambil gula-gula daripada orang yang tidak dikenali’ tidak selalunya berjaya.
Anda perlu memberitahu anak-anak bahawa tidak ada seorang dewasa pun yang boleh menyentuh mereka atau meminta untuk disentuh dalam apa jua cara yang mengelirukan atau menakutkan.
Ajar anak-anak anda untuk berkata tidak dan melaporkannya segera kepada anda sekiranya ia berlaku.
Anda juga perlu mengajar mereka bahawa tidak ada seorang dewasa pun yang boleh meminta agar anak-anak merahsiakan sebarang sentuhan mahupun ciuman.
Badan Amal Keselamatan Kanak-kanak The Kidscape, London, menemu bual 91 pedofil tentang pendekatan mereka memilih mangsa.
Para penyelidik tersebut mendapati, pedofil mempunyai kemahiran untuk menarik perhatian kanak-kanak untuk mempercayai mereka, menggula-gulakan mereka dengan hadiah dan membawa mereka keluar berjalan-jalan dan bersuka ria.
Pedofil selalunya menyasarkan keluarga ibu atau bapa tunggal di mana si ibu terutamanya amat berterima kasih di atas bantuan kerana menjaga anak mereka.
Hampir separuh daripada pedofil berkenaan mengakui berjumpa dengan kanak-kanak yang mereka cabul dengan cara menjadi penjaga kanak-kanak.
Anda perlu menaruh syak wasangka terhadap seseorang yang menunjukkan minat yang tinggi kepada anak-anak anda terutamanya jika mereka cenderung mencari jalan untuk bersendirian dengan anak anda.
Walaupun kebanyakan kes penderaan seksual melibatkan orang dewasa yang dikenali oleh kanak-kanak, mereka juga ada kalanya diserang oleh orang asing.
Satu perkara yang boleh anda beritahu kepada anak-anak adalah, jangan sesekali menghampiri kenderaan yang berhenti untuk bertanyakan arah jalan.
Adalah juga penting untuk menekankan kepada mereka bahawa mereka tidak akan dihukum kerana melanggar arahan sekiranya seseorang cuba mencabul mereka semasa melakukan kesalahan itu.
Menurut Kidscape, “Seorang kanak-kanak yang sedang bersiar-siar di taman setelah dilarang oleh ibu bapanya dan kemudian dia dicabul. Dia takut untuk mendedahkan perkara itu kerana bimbang dimarahi ibu kerana melanggar arahannya.’’
Dalam era teknologi maklumat ini, sesetengah pedofil banyak menghabiskan masa di internet. Jadi pastikan anda tahu apa yang anak anda lakukan di hadapan komputernya.
Beritahu mereka jangan sekali-sekali bertemu secara sendirian dengan sesiapa sahaja yang mereka kenali di Internet dan jangan berikan maklumat peribadi seperti tempat tinggal anda.
Minta mereka hafal nombor telefon penting untuk dihubungi sekiranya tersesat termasuk menghubungi polis. Jangan tumpang orang yang tidak dikenali.
No comments:
Post a Comment